BENTONG, 27 SEPTEMBER 2023 : Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai diharap dapat membuat pilihan berdasarkan prestasi Kerajaan Pahang dan bukannya persepsi yang dibawa oleh pihak pembangkang.
Calon Barisan Nasional (BN) DUN Pelangai, YH. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, ini kerana Kerajaan Negeri Pahang yang mentadbir kini mempunyai prestasi yang sangat baik.
“Sekarang kita ada dua (pilihan) antara persepsi dengan prestasi. Jadi rakyat perlu menilai antara persepsi ataupun prestasi.
“Kerajaan Negeri Pahang mempunyai prestasi yang sangat baik dan dapat hasil yang cukup baik serta juga pengurusan sangat baik. Dari masa ke semasa penambahbaikan setiap masa akan berlaku.
“Jadi rakyat kena pandai memilih, membezakan antara prestasi dengan persepsi. Jadi persepsi ni dia boleh buat apa-apa sahaja. Cakaplah apa pun tapi buktinya sebenarnya adalah prestasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Walkabout di Pekan Sehari dan Sembang Santai Bersama Pengundi di Kedai MARA di Felda Chemomoi hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bera, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, prestasi yang baik diperlukan untuk menjalankan tugas bukan hanya sekadar bercakap dan menyebarkan persepsi yang akan menimbulkan pelbagai masalah.
Sementara itu, katanya, beliau telah lama membantu penduduk setempat terutamanya anak Felda melalui aktiviti badan bukan Kerajaan (NGO).
“Saya bermula dengan NGO, membantu. Jadi kita memang dah bantu anak Felda daripada awal bukan baru sekarang.
“Jadi kami anak Felda, Majlis Belia Felda, kita memang membantu anak-abak Felda. Jadi itu perbezaan. Kita membantu tanpa mengira dan bukan sekarang. Kita dah bantu bermula pada dulu lagi, kita dah buat lama dah, kita teruskan sahaja,” katanya. -PAHANGMEDIA

