Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 16 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM5.5 juta bagi perlaksanaan 32 projek di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Peruntukan tersebut akan disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, 14 projek membabitkan peruntukan RM1.14 juta di bawah ICU JPM manakala RM4.33 juta bagi pelaksanaan 18 projek menerusi KKDW.

Jelasnya, kesemua peruntukan tersebut telah diluluskan sebagaimana yang dipohon oleh Allayarham Dato’ Sri Johari Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai sebelum ini.
“Projek ini semua berkaitan dengan rakyat dan ini semua bukan sahaja di sini, bukan sahaja disebabkan Pilihan Raya di tempat lain ada juga kelulusan di peringkat DUN di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang Tahun 2023 di Tapak Pekan Sehari FELDA Chemomoi, Bentong, pagi tadi.
Hadir sama ialah Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, barisan Exco Kerajaan PahangPahang dan Ahli Parlimen Bentong, YB Puan Young Syefura Othman.
Sebanyak 32 projek itu merangkumi kerja-kerja menaiktaraf dan membina baharu kemudahan-kemudahan asas di seluruh Bentong antaranya membina jambatan, dataran kejat, menaiktaraf jalan dan membaik pulih surau.
Dalam pada itu, beliau turut menyangkal semua peruntukan ini sebagai ‘gula-gula Pilihan Raya’ memandangkan setiap bantuan oleh Kerajaan Pahang sentiasa disalurkan kepada rakyat di sepanjang tahun.
“Kita daripada dahulu lagi, kalau tidak ada Pilihan Raya pun kita macam itu juga Bantuan Prihatin Pahang (BPP) sebagai contohnya sama ada, ada Pilihan Raya ke, tidak ada Pilihan Raya ke, bantuan untuk anak-anak kita ke sekolah, masuk universiti, jemaah haji kemudian belia, semua kita teruskan, bukan sebab Pilihan Raya baru kita nak buat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan projek ini akan dilaksanakan secepat mungkin demi manfaat rakyat.
“Hari Isnin ini lebih kurang RM1.2 juta akan dicabut undi sebab yang ini peraturan, kita tidak boleh bertolak ansur dengan peraturan kewangan dan Pejabat Daerah akan uruskan,” katanya. – PAHANGMEDIA

