Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 14 SEPTEMBER 2023 : Jentera Barisan Nasional (BN) telah digerakkan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jentera juga dilihat bersemangat.
“Siapsiagaan kita itu dah bermula lama dan kita juga telah berjumpa juga dengan rakyat. Dan dalam masa yang sama jentera juga nampak begitu bersemangat.
“Kita juga telah membuat kursus baru-baru ini di Pusat ILMU, Janda Baik dan kita beritahu pada rakyat bahawa kesinambungan kerja-kerja arwah ini perlu diteruskan dan ia akan memudahkan rakyat Pelangai juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang 2023 Bagi Kluster Pemandu Teksi, Penjaja Harian, Food Rider, dan MyLesen Prihatin Pahang di Dewan Orang Ramai Agropolitan FELDA Chemomoi hari ini.
Turut hadir, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan; dan barisan exco Kerajaan Pahang.
Menurut beliau, Barisan Nasional akan mengumumkan calon bagi kerusi N.36 Pelangai pada 20 September ini namun lokasi pengumuman masih belum ditetapkan dan akan diketahui selepas perbincangan malam ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 7 Oktober depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai, dan 23 September ditetapkan sebagai tarikh bagi hari penamaan calon.
Allahyarham Dato’ Sri Johari merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai adalah salah seorang mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina pada 17 Ogos lepas. -PAHANGMEDIA

