Oleh: Farahin Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 4 SEPTEMBER 2023: Graduan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Muhammad Daniel Irfan Ismail, 22, yang menerima Anugerah Kecemerlangan Sultan Ahmad Shah berhasrat untuk mencurah ilmu dan bakti di dalam bidang pendidikan.
Beliau yang menerima anugerah itu pada Istiadat Konvokesyen Ke-20 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) yang berlangsung di Dewan Cashmere, Hotel Zenith kini sedang menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Kepimpinan Pengajaran di universiti sama.
“Setakat ini saya sedang menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Kepimpinan Pengajaran di UnIPSAS. Kalau ikut perancangan hala tuju pendidikan saya ingin menyambung ke peringkat Sarjana dalam bidang TESL, dan jika diberikan peluang dan ruang saya berhajat ingin menjadi tenaga pengajar di UnIPSAS sendiri,” kata graduan Diploma Bahasa Inggeris tersebut.
Menurut Muhammad Daniel, selain sabar dan tawakal, rajin dan bersungguh-sungguh merupakan asas kejayaannya dalam pelajaran.
“Sikap hormat terhadap para pensyarah juga amat perlu disamping memastikan hubungan yang baik antara pelajar dan pensyarah kerana itulah kunci keberkatan,” katanya

Sementara itu, bagi penerima Anugerah Kecemerlangan Naib Canselor, Aisyatul Farihah Ahmad Zahiruddin, anugerah tersebut amat bermakna baginya dan amat berbaloi dengan penat lelahnya selama ini.
Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Kepujian) tersebut, beliau sempat berkongsi resepi kejayaannya iaitu setiap tugasan yang diberikan oleh pensyarah perlulah diselesaikan dengan tekun dan bersungguh-sungguh.
Majlis istiadat itu disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, merangkap Pro-Canselor I UnIPSAS, Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada istiadat konvokesyen tersebut, seramai 478 graduan telah menerima ijazah dan diploma masing-masing bagi tahun 2022. – PAHANGMEDIA

