Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali
KUANTAN, 04 SEPTEMBER 2023 : Seramai 458,335 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) direkodkan di Negeri Pahang bagi tahun ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM384.9 juta.
Timbalan Menteri Kewangan I, YB. Datuk Seri Haji Ahmad Maslan berkata sumbangan ini diberikan bagi membantu rakyat dan mengembangkan ekonomi setempat.
“Ramai yang menerima, dimana penduduk Pahang 1.61 juta termasuk kanak-kanak dan yang menerima hampir setengah juta orang. Tetapi kalau kita campurkan suami atau isteri yang menerima (STR) ia lebih daripada angka tersebut.
“STR yang diberikan bukan hanya individu dan keluarga itu menerima tetapi Sumbangan Tunai Rahmah ini membantu rakyat, satu perkara yang utama dan yang kedua ialah untuk mengembangkan ekonomi setempat. Kita tahu bahawa dalam teori ekonomi ada multiplying effects atau kesan gandaan terhadap setiap ringgit yang dibelanjakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jelajah Negeri Sempena Belanjawan 2024 di Negeri Pahang Bersama-sama YB Timbalan Menteri Kewangan 1 di Hotel Grand Darul Makmur hari ini.
Turut hadir, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; dan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim.
Menurut beliau, seramai 8,033 penerima direkodkan bagi Sumbangan Asas Rahmah di Pahang melibatkan RM4.8 juta bagi penerima miskin tegar.
“Kita juga ada Sumbangan Asas Rahmah kepada yang miskin tegar. Jumlah untuk Pahang 8,033 keluarga, jumlahnya RM4.8 juta. Ini kadang-kadang tidak dapat dilihat dari pihak negeri, yang mana ia juga adalah sumbangan daripada bajet tahunan. Kita bukan hanya memberikan bantuan untuk pembangunan,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan juga telah memberikan 507 projek bernilai RM29.5 bilion kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk tahun ini bagi baikpulih jalan raya.
“Pada 2022 bilangan projek di negeri Pahang, 400 projek dan kos projek itu RM27.4 bilion. Tapi pada 2023, kita tingkatkan kepada 507 bilangan projek.
“Dimana kita telah menambah hasrat Kerajaan Pahang. Peruntukan yang kita bagi setiap tahun mengikut pecahan dan 507 projek itu melibatkan projek baru dan projek sambungan,” katanya. -PAHANGMEDIA

