Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali
KUANTAN, 04 SEPTEMBER 2023 : Pembangunan prasarana menjadi bahagian yang terbesar yang perlu diambil perhatian dalam dialog sempena Belanjawan 2024 yang telah diadakan di Melaka, Johor, dan Pulau Pinang sebelum ini.
Timbalan Menteri Kewangan I, YB. Datuk Seri Haji Ahmad Maslan berkata ia meliputi kerja penambahan, pembaikan, serta penyelengaraan.
“Satu lagi saya lihat (yang menjadi perhatian sesi dialog) adalah tentang isu-isu kos sara hidup, keterjaminan makanan, ia penting juga, dan ditimbulkan.
“Dan mengenai kesihatan, juga penting, dan pendidikan, belia, dan wanita. Itu antara beberapa perkara yang menjadi hasrat daripada rakyat. Kemudiannya peluang-peluang perniagaan, pendigitalan, itu satu lagi hasrat yang ditimbulkan dalam Bajet 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jelajah Negeri Sempena Belanjawan 2024 di Negeri Pahang Bersama-sama YB Timbalan Menteri Kewangan 1 di Hotel Grand Darul Makmur hari ini.
Turut hadir, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; dan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim.
Menurut beliau, fokus Belanjawan 2024 bagi Negeri Pahang akan dibincangkan bersama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu pertemuan hari ini.
“Saya akan bincang dengan Menteri Beser Pahang, saya akan berjumpa dengan YAB Menteri Besar Pahang hari ini dan tentunya beliau ada perkara-perkara yang ingin beliau tumpukan dan Kerajaan Negeri tumpukan.
“Selalunya kita di bahagian Belanjawan akan menerima kertas-kertas daripada Kerajaan Negeri dan selalunya Kerajaan Negeri akan me memaklumkan apakah priority yang mereka inginkan dan biasanya kita tak lari daripada apa yang Kerajaan Negeri inginkan,” katanya.
Beliau berkata bagaimana pun hasil bagi Belanjawan 2024 akan dirumus dalam masa sebulan bermula 14 September sehingga 13 Oktober.
“Dan dalam masa tempoh sebulan itu tentunya kita akan dapat merumuskan priority apakah hasrat yang rakyat inginkan.
“Selepas ini kami di Kementerian Kewangan akan bertemu bagi sesi libat urus dengan pelbagai focus group ada pendidikan, perniagaan, NGO, teknologi, pelancongan, tentang sektor pembuatan, industri,” katanya. – PAHANGMEDIA

