KUANTAN, 4 SEPTEMBER 2023 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini memberi amaran keras agar semua kilang berhampiran Sungai Pukin dan Sungai Keratong lebih bertanggungjawab terhadap pengoperasian kilang mereka agar kejadian pencemaran sungai tidak lagi berulang.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, kesan daripada pencemaran ini telah mengakibatkan pelbagai spesies ikan dan hidupan air yang lain mati, selain Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Keratong terpaksa menghentikan operasi yang memberi kesan kepada 11,500 akaun pengguna.
“Saya mengikuti perkembangan pencemaran Sungai Pukin di Keratong, Rompin yang berlaku sejak 28 Ogos lalu dipercayai berpunca daripada pelepasan efluen kilang kelapa sawit yang tidak terawat ke sungai berhampiran.

“Walau bagaimanapun, tindakan segera telah pun diambil oleh pelbagai agensi berkaitan bagi mengatasi masalah ini dengan seberapa segera.
“Malah, Jabatan Alam Sekitar telah pun mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 16, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya dengan mengarahkan kilang yang terlibat menghentikan operasi dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan,” katanya dalam satu kenyataan media di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, di samping itu, operasi di semua kilang yang berhampiran Sungai Pukin, Sungai Keratong dan lain-lain anak sungai berhampiran juga telah diarah menghentikan operasi sehingga Kerajaan Negeri berpuas hati terhadap status pembersihan.
“Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) juga telah mengatur gerak lori-lori tangki bagi menghantar bekalan air ke kawasan penduduk terjejas setiap hari sehingga keadaan pencemaran Sungai Pukin kembali pulih dan LRA Sungai Keratong dapat beroperasi semula.
“Saya juga berharap agar penduduk yang terkesan di sekitar kawasan DUN Muadzam Shah dan DUN Bukit Ibam dapat bersabar kerana usaha-usaha memulihkan semula Sungai Pukin sedang giat dijalankan oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya. – PAHANGMEDIA

