Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 27 OGOS 2023 : “Yang bercakap itu bekas pemimpin UMNO yang tahap kegilatalakkannya berada di peringkat optimum,” ulas Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau mengulas berkenaan kenyataan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkaitan pertukaran sokongan pengundi di Johor kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya kecil (PRK) di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini.
“Yang bercakap itu bekas pemimpin UMNO yang tahap kegilatalaknya berada di peringkat optimum. Dan apa yang dinyatakan bukan lagi mewakili UMNO tetapi mewakili seteru politik kami,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Projek Biogas Kilang Sawit Risda, Ulu Keratong, hari ini.
Beliau berkata isu berkenaan bangsa, agama, dan institusi Di Raja atau 3R telah sedikit reda selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri selesai baru-baru ini namun tidak menolak isu ini akan tetap dimainkan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor.
“Isu 3R telah agak sedikit reda dan saya yakin kalau isu itu tetap dimainkan sama ada di Pulai atau di Simpang Jeram. Sikap rakyat Johor tentu berbeza dengan sikap pengundi di negeri di mana isu itu dimainkan dan saya lihat bahawa rasionaliti politik pengundi Johor amat berbeza dan mereka sebenarnya menolak isu-isu sempit sebagaimana yang dibangkitkan pada PRN enam negeri yang lalu.
“Walaupun mereka telah mendapat sokongan dan semangat yang tinggi di dalam PRN di enam negeri itu, tapi situasi di Johor adalah berbeza dan orang Johor tidak akan pernah dengan mudah menerima isu-isu yang terkait terutamanya mengenai 3R ini,” katanya.
Menurut beliau lagi, UMNO juga telah menambahbaik penggunaan sosial media selain menggunakan pendekatan berbeza terutamanya daripada Wanita UMNO.
“UMNO telah memulakan langkah-langkah untuk menambahluaskan penggunaan sosial media. Ianya agak kurang berkesan dalam pilihan raya yang lalu kerana ianya baharu dan baharu sahaja dimulakan. Maka followers dari influencer kita agak ketinggalan.
“Jadi belajar daripada pengalaman itu kita telah menambah baikkan penggunaan sosial media dan insya Allah kita juga mempunyai beberapa pendekatan lain terutamanya daripada Wanita UMNO sendiri yang bergerak bukan lagi menggunakan kajian sikap, cara konvensional tetapi mereka telah mengubah kaedah untuk melihat corak sokongan atau sebaliknya kepada calon Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Tambah beliau lagi, UMNO juga telah mula menggerakkan jentera di kedua-dua kawasan PRK Johor bagi membantu kekeliruan yang dihadapi pengundi berikutan ketiadaan lambang dacing pada kertas undi.
“Saya telah menggerakkan jentera di Pulai pada malam sebelum penamaan calon dan semalam kita telah menggerakkan jentera kita di Simpang Jeram. Ini telah saya lakukan tindakan susulan oleh Dato Sri Khalid, Pengerusi Perhubungan (UMNO Johor) dan Menteri Besar semalam.
“Saya juga telah bertemu dengan jawatankuasa bahagian empat peringkat iaitu di Simpang Jeram dan sebelum itu jawatankuasa empat peringkat Pulai. Saya yakin dengan bantuan kepimpinan bahagian-bahagian seluruh Johor kita menjelaskan di sini pengundi-pengundi kita tidak harus keliru semula,” katanya. -PAHANGMEDIA