Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah pada majlis penutupan 1st Pahang Tiger Summit di Hotel Zenith, hari ini.

KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG GESA TINDAKAN BERSAMA LINDUNGI HARIMAU MALAYA

Oleh: Fairus Mohd & Alia Mokhtar
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 28 JULAI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua pihak menyalurkan tenaga secara kolektif serta menyatakan komitmen dalam usaha pemeliharaan populasi spesies Harimau Malaya yang kian terancam.

Titah baginda, realiti kepupusan spesies haiwan ikonik tersebut memerlukan pendekatan holistik dan diterjemahkan dalam tindakan proaktif yang dilaksanakan bersama.

“Pemeliharaan Harimau Malaya bukan sahaja memberi perlindungan terhadap setiap satu daripada spesies tersebut tetapi ia melibatkan pemeliharaan dari segi habitat dan ekosistem mereka.

“Kita mesti bersama-sama berganding bahu dalam menjaga dan meluaskan penjagaan kawasan-kawasan terpelihara, menghalang penebangan hutan dan memulihkan lanskap yang terdegradasi (rosak) untuk memberi Harimau Malaya tempat dan sumber yang diperlukan,” titah baginda ketika majlis penutupan 1st Pahang Tiger Summit di Hotel Zenith, hari ini.

Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Haji Zulkifli Yaacob, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Dato’ Rosli Isa, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Dato’ Abdul Kadir Abu Hashim serta kepimpinan di peringkat negeri.

Dalam pada itu baginda menyentuh peranan penting komuniti setempat yang tinggal berhampiran habitat di mana kerjasama mereka mampu memperkasakan usaha pemuliharaan biodiversiti.

“Jalinkan kerjasama dan hubungan serta manfaatkan kepakaran masing masing sama ada kerajaan, NGO mahupun komuniti tempatan. Kumpulkan pengetahuan, kemahiran dan sokongan kewangan untuk melaksanakan strategi pemuliharaan.

“Kita juga tidak boleh menafikan kepentingan dan peranan kewangan dalam memacu usaha pemuliharaan. Sumber kewangan yang tidak mencukupi akan menghalang pelaksanaan strategi untuk melindungi habitat harimau, memerangi pemburuan haram dan memberi kesedaran,” titah baginda.

Jesteru baginda turut menggalakkan kerajaan, agensi antarabangsa, dan sektor swasta untuk menyemak semula pelaburan mereka dalam pemuliharaan harimau.

Baginda dalam titah turut menekankan kepentingan meningkatkan sistem penguatkuasaan yang membawa mesej yang kukuh bahawa tiada toleransi terhadap jenayah hidupan liar.

“Marilah kita sentiasa beringat bahawa ini adalah tanggungjawab kita untuk membawa panji pemuliharaan ke hadapan dengan jalinan kerjasama dengan kerajaan, mencari, menggerakan manfaatkan sumber dan menginsipirasikan masyarakat untuk menyertai usaha ini.

“Bersama-samalah kita melakukan perubahan sekaligus memastikan generasi masa depan dapat mewarisi kehidupan di mana Harimau Malaya yang menjadi simbol keindahan alam akan dapat kembali berkembang,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram