Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyertai 1st Pahang Tiger Summit di Hotel Zenith, hari ini.

KERAJAAN NEGERI KOMITED ATASI ISU KEPUPUSAN HARIMAU MALAYA

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 28 JULAI 2023 : Kerajaan Negeri sentiasa mengambil serius isu kepupusan spesies Harimau Malaya malah kesungguhan itu diterjemahkan melalui penubuhan Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) di Lancang, Temerloh hasil kesungguhan dan kegigihan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang sendiri.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun berkata, kesungguhan ini diteruskan dengan pewartaan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah seluas 134,183 hektar oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

“Penubuhan rizab ini dilihat dapat memelihara dan melindungi habitat semulajadi bagi Harimau Malaya dan inisiatif ini juga akan dapat membantu meningkatkan populasi Harimau Malaya serta meningkatkan keluasan kawasan rayau bagi mengelakkan konflik antara manusia dan hidupan liar.

“Kita seharusnya berbangga kerana rizab ini merupakan yang pertama di Malaysia malah, kawasan rizab ini akan menjadi salah satu daripada projek karbon kredit di bawah skim Malaysian Forest Fund ke arah meningkatkan usaha-usaha konservasi hutan secara kolektif,” katanya ketika menyampaikan ucapan di 1st Pahang Tiger Summit di Hotel Zenith, hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke majlis berkenaan pada jam 9 pagi untuk menyertai seminar berkenaan.

Baginda disambut YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Haji Zulkifli Yaacob, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Dato’ Rosli Isa, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Dato’ Abdul Kadir Abu Hashim serta kepimpinan di peringkat negeri.

Dalam pada itu ketika menyentuh berkenaan kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang dalam melaksanakan pelbagai usaha berkaitan, YB. Dato’ Sri Johari berkata kawasan berhutan di Pahang adalah seluas 2.04 juta hektar yang mewakili 57 peratus keluasan negeri ini, iaitu 3.6 juta hektar.

“Jumlah litupan Hutan Simpan Kekal, Hutan Perlindungan serta Hutan Tadahan Air yang sangat luas di Pahang sebagai penyumbang terbesar kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia atau seperti yang diungkapkan sesetengah pihak, “Pahang adalah paru-paru dan lembah oksigen Semenanjung Malaysia.

“Malah, dengan hutan yang begitu luas, maka tidak mustahil untuk Pahang melaksanakan pelbagai agenda untuk melindungi hidupan liar termasuk juga melindungi habitat Harimau Malaya,” katanya.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri Pahang terus komited menjaga kawasan perlindungan ini dengan mengatasi isu penerokaan hutan secara haram melalui kerja-kerja penguatkuasaan yang giat dijalankan.

“Kerajaan Negeri tegas dengan pendirian sering tegaskan bahawa tiada sebarang kompromi terhadap sebarang penerokaan haram dan Kerajaan Negeri bertekad untuk membasmi aktiviti ini dengan sehabis-habisnya.

“Selain itu, atas nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, maka sebuah pasukan khas bagi melindungi hidupan liar di negeri ini, iaitu Unit Peronda Hidupan Liar Pahang ditubuhkan bagi memantau dan membuat penguatkuasaan ke atas segala kesalahan yang mengingkari Akta Hidupan Liar,” katanya.

Beliau turut mengulangi sokongan Kerajaan Negeri terhadap titah baginda yang mahukan setiap perancangan serta projek pembangunan di negeri ini perlulah berlandaskan konsep Environmental, Social and Governance atau ESG. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram