Oleh : Fansurina Abdullah
PEKAN, 27 JULAI 2023 : Orang ramai khususnya rakyat Pahang dinasihatkan agar menggantikan Jalur Gemilang yang rosak atau koyak kepada yang elok sebelum dikibarkan.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, Jalur Gemilang merupakan bendera kebanggaan dan kemegahan negara yang perlu dikibar bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik khususnya pada Ogos sempena bulan kemerdekaan.
“Kita hendak Bendera Malaysia yang lengkaplah, takdelah ada bendera yang lusuh atau pun separuh bendera.
“Ini tidak melambangkan Jalur Gemilang yang kita boleh berkibar dengan bangganya, dengan megahnya, sekiranya Jalur Gemilang sendiri dalam keadaan tidak terurus, saya berharap orang ramai peka dan prihatin akan bendera kebanggaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 Peringkat Negeri Pahang yang tiba di checkpoint keenam pada hari kedua kembara di Kelab Golf Diraja, Pekan.
Turut menyambut ketibaan rombongan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Encik Mohd Shahrim Md. Zain dan Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.
Beliau yang juga Pengerusi Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Tahun 2023 Peringkat Negeri Pahang berkata, orang ramai termasuklah peniaga di negeri ini juga perlu mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing bagi menzahirkan rasa cinta dan bangga terhadap tanahair tercinta.
Peserta Kembara Merdeka Jalur Gemilang Tahun 2023 akan meneruskan perjalanan pada hari esok menuju ke checkpoint terakhir di Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah, Rompin sebelum menyerahkan Jalur Gemilang kepada pasukan konvoi Negeri Johor kira-kira jam 10 pagi.
Dalam perkembangan lain, YB. Dato’ Mohamad Nizar turut menjemput orang ramai untuk sama-sama memeriahkan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang pada 1 Ogos depan bertempat di Dataran Bandar Diraja Pekan pada jam 8.30 malam yang akan dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail. – PAHANGMEDIA