Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 12 MEI 2023 : Kerajaan Pahang menerusi Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah mewarta masuk Hutan Simpanan Kekal seluas 2,578.35 hektar berbanding 1,183.74 hektar hutan yang diwarta keluar.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Pejabat Tanah dan Galian Pahang sentiasa berusaha dan bekerjasama mengenalpasti kawasan-kawasan Tanah Kerajaan untuk mewartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal bagi menggantikan kawasan Hutan Simpanan Kekal yang telah dinyahwartakan.
“Pada tahun 2022 jumlah luas pewartaan keluar seluas 1,183.74 hektar, itu yang kita wartakan keluar, tetapi untuk makluman YB Dato Sri Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan, kita juga telah mewartakan pewartaan masuk, yang keluar 1,183.74 hektar, tetapi yang kita masukkan, kita wartakan masuk ialah sebanyak 2,578.35 hektar, bermakna yang keluar sikit, yang masuk lagi banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB. Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga Disember 2022, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang merekodkan luas Hutan Simpanan Kekal di Pahang adalah seluas 1,596,021.525 hektar iaitu 44.37 peratus daripada keluasan negeri ini.
Menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Encik Shahrim berhubung sumbangan hasil hutan terhadap Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, sememangnya hasil hutan sangat meyumbang kepada Kerajaan Negeri dengan berlaku peningkatan hasil pada setiap tahun. – PAHANGMEDIA