KUANTAN, 12 MEI 2023 : Kerajaan Negeri bersedia memberikan peruntukan kepada pembangkang di negeri ini selepas perkara itu dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau telah meminta Pegawai Kewangan Negeri supaya membuat kajian dan tindakan susulan untuk dibawa kertas cadangan ke MMK serta dibuat keputusan berhubung peruntukan ini.
“Kerajaan Negeri sudah bagi RM5,000 (pada Ramadan lalu) kepada pembangkang. Cuma ketika itu Kerajaan Negeri bercadang memberi secara berkala.
“Sebab memang menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memberikan peruntukan kepada rakan-rakan kita (pembangkang). Cuma saya dah bagi tahu kepada Pegawai Kewangan negeri supaya ada ‘benchmark’ dengan negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata, perkara ini perlu dibawa ke mesyuarat MMK terlebih dahulu kerana melibatkan duit kerajaan.
“Kita kena bawa ke Mesyuarat Exco kerana ini melibatkan duit kerajaan. Saya tidak boleh sewenang-wenangnya untuk lulus, kena tengok implikasi kewangan ada aliran tunai duit Kerajaan Negeri dan pelbagai lagi.
“Bantuan itu tetap ada, banyak mana, cara mana, Pegawai Kewangan Negeri akan bawa kepada Exco seperti bantuan baru-baru ini,” jelasnya. – PAHANGMEDIA