Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 MEI 2023 : Usaha Kerajaan Pahang dalam menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada setiap lapisan masyarakat tidak hanya terhad di kawasan pentadbiran kerajaan semata-mata tetapi turut menembusi kawasan pembangkang tanpa mengira sokongan dan parti.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, ini membuktikan bahawa ketelusan kerajaan dalam menyalurkan bantuan dan sumbangan melangkaui batas politik termasuklah pelbagai bentuk insentif lain yang telah sedia diberikan oleh pihak kerajaan.
Katanya, pada tahun 2018 dan 2019, Kerajaan Pahang telah memberikan bantuan empat buah traktor kepada nelayan-nelayan di Beserah selain sumbangan menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada Persatuan Nelayan seluruh Pahang.
“Selagi ada ruang untuk berunding itu, Insyaa Allah, saya terpaksa cakap begini kerana perlu memberi penjelasan tidak ada langsung usaha untuk ‘memangsakan’ mana-mana pihak di mana-mana juga.
“Padahal kalau kita ikut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah daripada parti pembangkang tetapi kita tak pernah buat begitu (tidak memberi bantuan), di kawasan Tanjung Lumpur juga kita beri bantuan termasuklah dana yang diperuntukkan kerajaan, bantuan anak sekolah, sakit kronik, insyaa Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 9,425 petani telah mendapat manfaat melalui kursus-kursus pertanian di mana Jabatan Pertanian telah mendapat peruntukan berjumlah RM2.2 juta daripada Kerajaan Negeri manakala RM11.7 juta diterima daripada Kerajaan Persekutuan.
Pelbagai strategi dirangka bagi meningkatkan pencapaian program pembangunan pertanian khususnya bagi sektor agromakanan dengan peruntukan RM3.06 juta oleh Kerajaan Negeri.
Tambahnya, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar berusaha memastikan keterjaminan makanan hasilan ternakan agar cekap dan dapat merangsang pelaburan dalam industri ternakan serta meningkatkan nilai pengeluaran dengan nilai pengeluaran RM1.32 bilion pada tahun 2022.
Bagi sektor pendidikan pula, beliau menjelaskan, terdapat 141 Sekolah Kurang Murid (SKM) di Pahang dengan pecahan Sekolah Kebangsaan (SK) sebanyak 74 buah, Sekolah Kebangsaan Asli (lapan buah), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (28 buah) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (31 buah).
Justeru, 11 anjakan diperkenalkan bagi merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar sebagaimana termaktub di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) antaranya menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa, melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai dan memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
Jabatan Pendidikan Negeri Pahang juga telah melancarkan Transformasi Pendidikan Pahang (TPP) 2021-2030 bertujuan melahirkan generasi serba lengkap, berdaya saing dan berkebolehan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi. – PAHANGMEDIA