Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 MEI 2023 : Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memperkasakan pembangunan dan keperluan di institusi-institusi agama dan pendidikan Islam di negeri ini dengan menyediakan pelbagai inisiatif serta penambahbaikan bagi memastikan Islam lebih kompetensi.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kepimpinan kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan hal ehwal agama ini dapat dilaksanakan dengan baik dan dibentengkan dengan persetujuan semua pihak melibatkan pentadbiran Islam, pendidikan Islam, jenayah syariah dan penyebaran agama.
“Ini adalah bukti kesungguhan Kerajaan Pahang untuk memperkasakan agama Islam di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, mudah-mudahan usaha murni ini diberkati oleh Allah SWT dan diberi jalan yang lebih luas untuk kita memperkasakan agama dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada 106 surau kebenaran Jumaat (SKJ) dengan JAKIM meluluskan imbuhan bulanan imam SKJ di Kampung Orang Asli manakala Kerajaan Pahang pula menyediakan imbuhan bulanan kepada bilal dan siak di SKJ Orang Asli.
“Kerajaan Pahang juga turut menyediakan inisiatif sebanyak 100 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) khusus kepada masyarakat Orang Asli berjumlah RM7.5 juta serta peruntukan membaik pulih rumah Orang Asli berjumlah RM1.5 juta melalui Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) dan Insentif perkahwinan kali pertama sebanyak RM300 kepada setiap pasangan pengantin baru Orang Asli,” katanya
Beliau berkata, projek-projek dan insiatif yang dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli dari pelbagai aspek dan membantu mereka menysuaikan diri dalam arus pembangunan semasa.
Kerajaan Negeri bersama jabatan-jabatan terlibat akan sentiasa memantau dan mengambil maklum situasi dan kemaslahatan masyarakat Orang Asli Pahang dengan pelbagai peranangan pembangunan, sosioekonomi, pendidikan dan kebajikan agar kemakmuran hidup dapat dinikmati bersama. – PAHANGMEDIA