YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

HENTI FITNAH KERAJAAN PAHANG, BERSAING SECARA SIHAT – MB PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 7 MEI 2023 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berharap agar penyebaran fitnah berhubung Kerajaan Pahang dapat dihentikan meskipun ianya bermotifkan politik.

Beliau berkata, pihak yang menyebarkan fitnah seharusnya bersikap terbuka untuk bersaing secara sihat.

“Fitnah ini adalah satu kerja yang tidak baik, tidak betul dan mengelirukan rakyat, apa salahnya kita menyatakan sesuatu yang betul.

“Apa yang saya maksudkan ini perkara yang tidak berlaku, kadang-kadang benda itu berlaku di tempat lain, tetapi dikatakan (berlaku) di Pahang.

“Kita tahu ini adalah agenda politik tapi tidak baiklah, kalau boleh kita bersaing secara sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Dan Penyampaian Bantuan Haji Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444H / 2023di Kuantan, hari ini.

Beliau mengulas demikian selepas ditanya berhubung dakwaan yang tular di media sosial berkaitan masalah kualiti bekalan air di beberapa kawasan di negeri ini.

Dakwaan itu disebarkan melalui laman sosial Twitter dan Facebook oleh individu tertentu.

“Macam kerajaan negeri bila diberi tanggungjawab, kita buat kerja, kita tidak akan menabur fitnah.

“Kalau kata kerajaan negeri dah buat, contohnya dulu kawasan saya bekalan air sangat kerap berlaku, tetapi sekarang ini terganggu juga, tapi tidaklah sekerap dulu.

“Memang kita akui, kita ada kelemahan tapi janganlah sampai memfitnah kerajaan negeri,” katanya lagi. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram