YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) 1444 Hijrah / 2023 Masihi yang berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak 3, World Trade Centre di Kuala Lumpur, hari ini.

KERAJAAN PAHANG KAJI KEBERHASILAN PAHANG TALENT

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUALA LUMPUR, 6 MEI 2023 : Kerajaan Pahang akan mengkaji keberhasilan Program ‘Pahang Talent’ yang mula dilaksanakan pada tahun lalu sama ada dapat dilaksanakan pada setiap tahun atau pun dua tahun sekali.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebarang keputusan adalah tertakluk kepada keperluan oleh pihak kerajaan demi memastikan kepakaran dan kemahiran di kalangan mahasiswa dan mahasiswi terbaik daripada Pahang dapat dimanfaatkan oleh Kerajaan Negeri.

“Kita tengok dulu keberhasilan daripada ‘Pahang Talent’ ini sebab Pahang Talent ini kita ambil ‘the best of the best’, kalau kita tidak berbuat demikian bakat-bakat mereka ini iaitu pelajar-pelajar cemerlang ini akan mengalir ke tempat atau negeri lain atau pun agensi swasta, jadi kita menghubungi universiti, anak-anak Pahang yang mendapat pencapaian akademik yang cemerlang kita ambil dulu.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Buat masa ini saya sendiri telah meminta satu kajian dibuat apakah kita akan teruskan pengambilan di masa akan datang atau pun ada kaedah-kaedah tertentu mungkin kita akan ambil setiap tahun, atau dua tahun sekali dan terpulang kepada keperluan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) 1444 Hijrah / 2023 Masihi yang berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak 3, World Trade Centre di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin, barisan Exco Kerajaan Pahang, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi dan barisan kepimpinan Kerajaan Pahang.

Pada majlis itu seramai 2,000 ahli MAMPAN dari seluruh Semenanjung turut diberikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kategori mahasiswa berjumlah RM300 setiap seorang.

Pada majlis sama turut disampaikan Anugerah Ikon Siswa MAMPAN 2023 kepada tiga penerima iaitu Liyana Nur Hazirah Mohamad Noor Azman dari University College Of Yayasan Pahang (UCYP), Muhammad Alif Syafiq Mohamed Ismail dari Universiti Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah (UnIPSAS) dan Nor Hazelin Hazman dari Universiti Utara Malaysia (UUM). – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram