Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUALA LUMPUR, 6 MEI 2023 : Mahasiswa Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) teruja apabila menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang telah disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berjumlah keseluruhan RM600,000 hari ini.
Presiden MAMPAN, Saudara Syed Amirul Rosyid Sy Mohd Sukri berkata, kesemua mahasiwa MAMPAN sangat teruja apabila sambutan perayaan Aidilfitri pada kali ini dapat mempertemukan barisan kepimpinan utama Kerajaan Negeri bersama mahasiswa anak Pahang yang kini menyambung pengajian ke menara gading seluruh Malaysia.

Jelasnya, hubungan MAMPAN bersama Kerajaan Pahang adalah sangat baik dalam menjayakan pelbagai inisiatif dan program khusus untuk mahasiswa anak Pahang.
“Sejujurnya kami sangat teruja kerana ada yang tidak kenal dan tidak pernah berjumpa sebelum ini, maklumlah 2,000 pelajar, Alhamdulillah kami berjaya dengan bantuan daripada Yayasan Pahang dan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri MAMPAN yang berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak 3, World Trade Centre (WTC) di Kuala Lumpur.
Sementara itu, seorang penerima Anugerah Ikon Siswa MAMPAN 2023 dari University College Of Yayasan Pahang (UCYP), Saudari Liyana Nur Hazirah Mohamad Noor Azman turut menyatakan rasa syukur dan gembira di atas anugerah yang diberikan dengan CGPA 3.97 yang membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM2,000.

Liyana Nur Hazirah menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang sangat cakna terhadap keperluan para pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara.
“Saya anak ucapkan terima kasih kepada Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana telah melaksanakan satu inisiatif kepada mahasiswa dan mahasiswi dari seluruh negeri Pahang dapat RM300 jadi kami rasa inisiatif ini dapat membantu meringankan beban mahasiswa jadi saya nak ucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar,” katanya.
Sementara itu, mahasiswa Universiti Teknikal Melaka (UTEM), Wan Muhammad Nasrun Wan Salman juga turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Pahang di atas keprihatinan pemberian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) berjumlah RM300 seorang yang dapat dimanfaatkan untuk keperluan pengajian masing-masing.

“Terima kasih kepada Kerajaan Pahang sebab tambah, dulu RM200 sekarang jadi RM300 jadi saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pahang untuk penambahan ini,” katanya.
Bagi seorang lagi mahasiswa UCYP, Saudari Nur Shuhada Farhana Isaher, pemberian BPP adalah tanda prihatin Kerajaan Negeri terhadap golongan mahasiswa yang memerlukan kos dan perbelanjaan agak besar bagi pengajian masing-masing.

“Terima kasih kepad Menteri Besar Pahang kerana memberi kesempatan untuk kami jumpa (bertemu dengan YAB Menteri Besar) walaupun kami faham dengan jadual Menteri Besar yang sibuk namun sangar empati untuk rakyat Pahang di mana mahasiswa dan mahasiswi yang lahir di Pahang,” katanya,
Kesemua mereka sangat gembira dengan kehadiran YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. – PAHANGMEDIA