Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 MEI 2023 : Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memaklumkan berita tular berkenaan terdapat kanak-kanak disyaki mengalami strok haba di Rompin hari ini adalah tidak benar.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengarah Kesihatan JKNP, YH. Dato’ Indera Dr. Nor Azimi Yunus, kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun tersebut telah didiagnos dengan Meningoencephalitis iaitu jangkitan pada otak.
“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang merujuk kepada kenyataan yang tular di media sosial berkaitan terdapat satu kes kanak-kanak yang disyaki mengalami Strok Haba dari daerah Rompin pada 4 Mei 2023.
“Adalah dimaklumkan bahawa hasil siasatan mendapati pada 3 Mei 2023 jam 11.45 malam, satu kes telah dirujuk dari Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan ( HTAA) melalui Mercy Flight TUDM dengan diagnosis Meningitis iaitu jangkitan kuman di otak.
“Kes tersebut merupakan kanak- kanak berumur 8 tahun dari Pulau Tioman yang mendapatkan rawatan dengan simptom sawan setelah mengalami demam, muntah dan keletihan selama dua hari sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata kanak-kanak tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Wad Kanak- Kanak HTAA bagi rawatan lanjut.
“Pesakit seterusnya dirawat di Jabatan Kecemasan HTAA dan menjalani siasatan melalui CT Scan, pengambilan darah dan diberikan rawatan selanjutnya,” katanya.
Menurut beliau, suhu harian bagi negeri Pahang masih lagi terkawal di mana merujuk kepada Jabatan Meteorologi Malaysia, suhu harian bagi negeri ini adalah kurang dari 35°C.
“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlaku kesan kesihatan berikutan cuaca panas.
“Orang ramai boleh memantau status gelombang haba di negeri dan daerah masing-masing melalui laman sesawang MetMalaysia di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/,” katanya. -PAHANGMEDIA