Mantan Pengerusi Puspanita YBhg. Datin Sri Kamariah Mohamad (dua dari kanan) menyerahkan dokumen kepada Pengerusi Puspanita baharu, YBhg. Datin Indera Harlina Arshad.

PUSPANITA PAHANG SERAH TERIMA TUGAS PENGERUSI BAHARU

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Noor Farahana Mohd Fadzil

KUANTAN, 4 MEI 2023 : Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Negeri Pahang menerima kehadiran Pengerusi baharunya, YBhg. Datin Indera Harlina Arshad, semalam.

Majlis Setaut Kasih Seindah Kenangan yang diadakan turut meraikan mantan Pengerusi Puspanita YBhg. Datin Sri Kamariah Mohamad.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi 1, Datin Nor Artini Ismail serta Timbalan Pengerusi 2, Datin Indera Noorhayati Ismail.

Pengerusi Puspanita, YBhg. Datin Indera Harlina Arshad

Datin Indera Harlina Arshad dalam ucapannya berharap agar kehadiran beliau dapat memberi nafas baru serta dapat menyumbang kepada kesinambungan segala usaha dan kejayaan Puspanita Cawangan Pahang.

“Saya bersedia untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan idea bagi memastikan Puspanita terus bergerak dengan aktif dan cemerlang.

“Saya juga terbuka untuk menerima apa jua pandangan dalam menggerakkan Puspanita sebagai sebuah Persatuan yang bukan hanya memberi manfaat kepada ahli, tetapi juga orang di sekeliling kita,” katanya.

Sementara itu bagi mengenang jasa dan bakti Datin Sri Kamariah Mohamad, satu persembahan montaj memaparkan kenangan dalam aktiviti-aktiviti dijalankan sepanjang beliau mengemudi jawatan Pengerusi Puspanita ditayangkan.

Ahli Puspanita bergambar kenangan dengan mantan Pengerusi Puspanita, YBhg Datin Sri Kamariah Mohamad.

Memegang jawatan Pengerusi Puspanita Cawangan Negeri Pahang sejak 7 Januari 2019, isteri kepada bekas YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak ini turut menyampaikan penghargaan kepada semua jawatankuasa dan ahli Puspanita yang meraikan beliau sempena persaraan Dato’ Sri Dr Salehuddin secara rasmi pada 27 April, baru-baru ini.

Dalam ucapannya beliau menyatakan keyakinan terhadap kredibiliti Datin Indera Harlina dalam mengemudi Puspanita dengan cemerlang dalam memartabatkan dan meletakkan persatuan ini ke satu tahap yang lebih tinggi.

Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih dan harapan agar setiap ahli Puspanita Cawangan Pahang sentiasa komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram