Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 15 APRIL 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berbuka puasa bersama rakyat Pahang, di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK 1), hari ini.
Turut mengiringi baginda ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Keberangkatan tiba baginda berdua pada jam 6 petang itu disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama paduka-paduka anakanda, pegawai-pegawai kanan kerajaan, kerabat bergelar serta barisan kepimpinan negeri.
Baginda juga turut bersalaman dan meluangkan masa beramah mesra bersama peniaga serta pengunjung dan turut membeli juadah makanan di bazar tersebut.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 50 orang kanak-kanak lelaki dari Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah dan 50 orang kanak-kanak perempuan dari Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajah Kalsom, Penor.
Manakala, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah berkenan mengagihkan 2,000 bekas bubur lambuk kepada pengunjung yang berbuka di padang berkenaan.
Baginda dan Permaisuri serta keluarga kemudiannya berbuka puasa di padang tersebut di samping meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat yang teruja dan seronok dapat bersalaman dan merakamkan gambar kenangan bersama baginda berdua. -PAHANGMEDIA