YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Jelai Inn Boutique Hotel di Sungai Koyan hari ini.

PAHANG GERAK 50 SUKARELAWAN BANTU OPERASI TANAH RUNTUH BATANG KALI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

LIPIS, 16 DISEMBER 2022 : Kerajaan Pahang telah menggerakkan 50 sukarelawan dari negeri ini bagi memberi bantuan bagi operasi menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Negeri telah menggerakkan bantuan ini pagi tadi.

“Pertama sekali bagi pihak Kerajaan Negeri, kita merasa amat dukacita terhadap apa yang berlaku di Batang Kali. Di mana berlaku tanah runtuh.

“Dan Kerajaan Negeri terpanggil untuk memberikan bantuan dan saya sendiri telah mengarahkan bantuan kemanusiaan dan barangan dihantar dengan serta merta.

“Bermula pagi tadi, seramai 50 orang anggota telah dikerahkan daripada negeri dan daripada MTSP (Majlis Tindakan Sosial Pahang),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di Jelai Inn Boutique Hotel di Sungai Koyan hari ini.

Beliau turut berharap bantuan yang dihulurkan ini dapat membantu pihak berkuasa dalam usaha menyelamatkan mangsa yang terlibat.

“Saya harap dengan bantuan yang tidak seberapa ini dapat membantu usaha-usaha untuk menyelamatkan mangsa yang terkesan akibat runtuhan tanah di Batang Kali,” katanya.

Beliau turut mennasihatkan orang ramai supaya mengelak dari memasuki kawasan yang berisiko untuk berlaku bencana pada musim tengkujuh ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk menasihatkan kepada masyarakat keseluruhannya, khasnya rakyat Pahang, sekarang ini adalah musim hujan, musim tengkujuh, dan saya harap mereka semua tidak masuk ke kawasan-kawasan yang terlarang (oleh pihak berkuasa) kerana ini mungkin boleh mengundangkan bencana kepada mereka.

“Dan saya telah meminta agensi terlibat seperti Perhutanan supaya mengeluarkan arahan tidak membenarkan mana-mana individu untuk memasuki kawasan yang difikirkan berbahaya,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram