Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 14 DISEMBER 2022 : Pertambahan tugas baharu dalam portfolio yang dipegang YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak iaitu sektor pendidikan tidak disifatkan sebagai beban tetapi satu cabaran yang akan digalas sebaik-baiknya.
Beliau yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang berkata, mana-mana negara yang ingin maju perlu menghasilkan modal insan yang berjaya dan ini dapat dilaksanakan melalui pemerkasaan sektor pendidikan itu sendiri.
“Saya yakin Kerajaan Pusat di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri dan juga Menteri Pendidikan yang baru akan merangka rancangan Pemerkasaan modal-modal insan.
“Jadi, Pahang akan bergerak selaras dengan hasrat dan aspirasi Kerajaan Pusat termasuk memperkasakan institusi sedia ada seperti Yayasan Pahang, UnIPSAS, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan lain-lain.
“Saya juga yakin akan dapat kerjasama bantuan daripada sektor pendidikan termasuk guru-guru terlatih dan juga ahli-ahli akademik yang hebat dalam memimpin taraf pendidikan negeri kita ke arah lebih hebat dan cemerlang,” katanya.
Sementara itu mengulas lanjut berkenaan portfolio Pertanian, Industri Asas Tani serra Bioteknologi yang kembali dipegang, beliau memaklumkan bahawa segala usaha dan perancangan yang dilakukan sebelum ini akan diteruskan pada penggal ini.
“Saya sedia membantu YAB Menteri Besar Pahang dalam memastikan sektor agromakanan akan dapat diperkasakan khususnya dalam menangani isu food security negari. Program yang telah dirangka dengan cetusan idea MB akan diteruskan untuk perkasa industri ternakan negeri dan akan perkenalkan baka-baka premium untuk diternak di negeri ini.
“Saya yakin dengan kerjasama semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan juga pengalaman-pengalaman yang telah diperoleh penternak sendiri dapat digabungkan dua komponen penting iaitu pemain industri serta peneraju-peneraju jabatan dan agensi termasuk dalam meneroka teknologi baru,” katanya.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus menggalakkan penyertaan lebih ramai golongan muda untuk menyertai sektor penternakan pada tahun ini antaranya penyediaan insentif seperti Geran Agropreneur Muda.
“Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Veterinar juga akan terus mengadakan kempen bagi menggalakkan penggunaan baka lembu sado seperti limousin, belgian blue dan charolais yang mempunyai saiz badan yang lebih besar daripada baka lembu tempatan selain lembu baka wagyu yang mempunyai nilai tinggi di pasaran.
“Jesteru, penggunaan teknologi permanian beradas dan pemindahan embrio akan diaplikasikan di Pahang bagi menggiatkan aktiviti peningkatan kualiti genetik lembu tempatan serta meningkatkan bilangan jurusuntik permanian beradas di kalangan penternak bagi menyokong keperluan perkhidmatan ini melalui siri kursus dari tahun ke tahun,” katanya.
Katanya lagi, usaha lain yang dilakukan ialah penganjuran program latihan dalam bentuk pemindahan teknologi melalui kursus, seminar, bengkel dan sidang penternak bagi memastikan mereka yang terlibat dilengkapi ilmu yang berkaitan. – PAHANGMEDIA