Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamed Kamal

EXCO BAHARU INGIN BELAJAR, GALAS TANGGUNGJAWAB DENGAN BAIK

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 14 DISEMBER 2022 : Exco baharu Kerajaan Pahang bertekad untuk mendalami dan mempelajari berhubung portfolio yang diamanahkan di atas bahu mereka sebagaimana diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamed Kamal berkata, kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh Dato’ Sri Haji Wan Rosdy akan dimanfaatkan sebaik mungkin demi rakyat dan Negeri Pahang.

“Pertama kali saya sebagai wakil rakyat dan kini memegang portfolio sebagai Exco sudah pastilah banyak yang saya kena belajar tetapi saya kena belajar segera untuk faham tentang portfolio yang diletakkan di atas bahu saya dan sudah pastilah saya akan buat yang terbaik atas kepercayaan ini khususnya kepada rakyat dan juga negeri Pahang Darul Makmur.

“Dalam masa terdekat ini saya akan berjumpa dengan agensi-agensi, jabatan dan pihak ‘stakeholder’ atau pihak berkepentingan yang berkait dengan portfolio saya ini untuk saya dapatkan gambaran yang lebih jelas dan tepat tentang tugas serta tanggungjawab saya, InsyaAllah dari situ nanti barulah saya merangka pelan dan juga tugas saya berkait dengan portfolio saya,” katanya.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang turut berhasrat untuk bekerja secara rapat dengan agensi dan jabatan di bawah portfolionya dalam usaha membantu rakyat di seluruh Pahang.

“Saya cuba selesaikan masalah yang rakyat hadapi, saya akan sedaya upaya cuba selesaikan masalah dan harap sara hidup penduduk Pahang ini, jangan khuatir sangat dengan harga barangan yang orang selalu cakap harga naik, saya akan sedaya upaya membantu,” katanya.

Bagi Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man pula melihat portfolio pelancongan sebagai berpotensi untuk dipertingkatkan lagi di Pahang selepas dua tahun rakyat Malaysia tidak dapat melancong akibat penularan COVID-19.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man

“Jadi saya nampak Pahang mempunyai potensi yang besar bukan sahaja untuk pelancongan domestik tetapi juga menarik pelancong daripada luar negara dan saya akan meneruskan usaha Kerajaan Pahang sebelum ini di mana portfolio pelancongan di bawah Dato’ Sri Mohd Sharkar dan saya percaya beliau telah melakukan kerja yang baik dan saya akan cuba belajar dalam masa terdekat untuk kita ‘explore’ bagaimana kita boleh menaiktaraf lagi tahap dan prestasi pelancongan di Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram