YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Penerangan Penyelesaian Isu Air Bersih Mukim Endau di Hotel Sri Malaysia di Rompin.

TUJUH PROJEK DILAKSANA SELESAI MASALAH AIR DI TIOMAN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

ROMPIN, 1 DISEMBER 2022 : Sebanyak tujuh projek dilaksanakan di Dewan Negeri (DN) Tioman bagi menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan itu yang dikendalikan oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tujuh projek tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan Kerajaan Pahang menyelesaikan masalah air di daerah Rompin yang melibatkan peruntukan sebanyak RM103.8 juta.

Beliau berkata, dua daripadanya telah pun siap iaitu di kerja-kerja elektrik, pemasangan paip air mentah, pam air bersih serta kerja-kerja lain di Loji Rawatan Air (LRA) Sepayang serta Projek Bekalan Air Luar Bandar Sistem Retikulasi Negeri Pahang zon 1 di Kampung Merlak.

“Lima lagi projek ialah naik taraf LRA Sepayang Fasa ke 2 berkapasiti 36.4 juta liter sehari (GLH) (siap 2025), projek pembinaan rumah pam dan tangki sedutan di tapak tangki Tanjung Gemuk (siap Januari 2024), projek pemasangan paip MSCL 300mm dari retikulasi LRA Selendang ke tangki perkhidmatan Parit Raja (siap Disember 2023), projek pemasangan paip MSCL 200mm dan struktur sokongan merentasi Sungai Anak Endau (siap Mei 2024) dan juga Projek Bekalan Air Luar Bandar Kampung Tekek, Pulau Tioman (siap Januari 2024),” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penerangan Penyelesaian Isu Air Bersih Mukim Endau di Hotel Sri Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Ybhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari.

Sementara itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, perjumpaan dan taklimat yang dilakukan adalah untuk menceritakan apa yang sedang dan telah dilakukan terutamanya di DN Tioman ini sekaligus menangkis tohmahan bahawa Kerajaan Negeri sambil lewa atau tak ambil apa-apa tindakan.

“Usaha menyelesaikan masalah air dilaksanakan secara berperingkat..tetapi pokoknya kita telah berikhtiar dan berusaha supaya masalah air di Pahang ini akan selesai 90 peratus dalam tempoh masa lima tahun.

“Kalau ada orang kata Kerajaan Negeri abai masalah air, itu adalah tohmahan semata-mata, peruntukan dah ada dan kita sedang melaksanakan kerja-kerja secara berperingkat.. Ia memerlukan masa yang agak panjang tapi kita sedang selesaikan semua isu dengan sebaik mungkin,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram