YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Perjumpaan Bersama YAB Menteri Besar Pahang Dengan Penduduk Kampung Denai dan Jamuan Rakyat di Kampung Denai hari ini.

“TERIMA KASIH KERAJAAN PAHANG DENGAR MASALAH KAMI” – PENDUDUK KAMPUNG DENAI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

ROMPIN, 01 DISEMBER 2022 : Penduduk Kampung Denai di sini melahirkan rasa lega kerana bakal mempunyai bekalan air bersih secara terus tidak lama lagi.

Menurut Tok Batin Kampung Denai, Encik Yakil a/l Apil, beliau mewakili penduduk kampung berkenaan melahirkan rasa terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang yang mendengar permasalahan mereka.

“Terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri untuk membantu Kampung Denai yang dah lama kita menghadapi permasalahan air, dan sehingga sekarang diputuskan oleh PAIP tahun hadapan akan dilaksanakan (projek bagi menyelesaikan masalah ini).

“Masalah berkaitan air ini telah dibawa ke peringkat atasan, telah dibawa ke (pengetahuan) Dato’ Sri Setiausaha Kerajaan Negeri (Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak) untuk menyelesaikan masalah air ini.

“Dan hari ini, kita berjumpa dengan Dato’ Sri Wan (Wan Rosdy Wan Ismail) bagi masalah ini. Saya dimaklumkan tahun hadapan isu air ini akan diselesaikan bagi Kampung Denai,” katanya.

Tok Batin Kampung Denai, Encik Yakil a/l Apil

Menurut beliau, buat masa kini, penduduk Kampung Denai mendapatkan bekalan air daripada lori tangki yang akan menghantar ke setiap rumah di kampung berkenaan.

“Sekarang ini bekalan air kami dibekalkan oleh JAKOA di mana setiap minggu bekalan air bersih daripada luar (Kampung Denai) dibawa masuk ke dalam (kampung) untuk bekalkan kepada penduduk di sini.

“Air dibawa menggunakan lori tangki dan dihantar dari rumah ke rumah kerana sebelum ini bekalan air di kampung kami dibekalan oleh JAKOA menggunakan pam dari air bawah tanah, tapi air yang dapat rasa masin dan kurang bersih,” katanya.

Tambah beliau lagi, penduduk kampung turut melahirkan rasa terharu setelah mendengar berita yang disampaikan oleh Kerajaan Negeri minggu ini.

“Saya mewakili orang kampung rasa terharu sebab sekian lama penduduk kampung ini tidak menikmati bekalan air bersih dan bila Dato’ Sri SS (Setiausaha Kerajaan Negeri) dah kata macam itu (projek bekalan air akan dilaksanakan), maknanya kami penduduk kampung memang rasa gembira mendapat bekalan air bersih,” katanya.

Beliau ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) semasa Perjumpaan Bersama YAB Menteri Besar Pahang Dengan Penduduk Kampung Denai dan Jamuan Rakyat di Kampung Denai hari ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram