Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2022 : Polis Pahang menasihati pengguna media sosial supaya tidak menyebarkan sebarang hantaran (posting) dan perkongsian atau pemanjangan (forwarding) sebarang bentuk kandungan sama ada teks, video atau audio yang membabitkan Institusi Raja, agama dan bangsa.
Ketua Polis Pahang, CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tindakan penyebaran sedemikian adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia (AKM) 1998, Akta Hasutan 1948, Seksyen 500/504/505 Kanun Keseksaan.
“Perbuatan tidak bertanggungjawab yang melibatkan hasutan, fitnah, penghinaan, perkataan jelek, lucah dan sebagainya adalah dikategorikan sebagai ‘hate contents’ yang boleh mendatangkan kegusaran awam atau menggugat ketenteraman awam.
“Jika siasatan mendapati ada kesalahan, pesalah akan dituduh di mahkamah dan mungkin akan menerima hukuman setimpal,” katanya dalam satu kenyataan media kepada media, hari ini.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai khususnya pengguna media sosial supaya lebih bertanggungjawab dan memikirkan risiko dan implikasi sebelum memberi pendapat yang berbaur kesalahan jenayah. – PAHANGMEDIA