LENCONGAN JALAN SEMPENA HARI PENAMAAN CALON DEWAN NEGERI TIOMAN

Oleh : Fairus Mohd

KUANTAN, 23 NOVEMBER 2022 : Orang ramai khususnya pengguna Jalan Kuantan-Mersing-Kuantan diminta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak polis sempena hari penamaan calon bagi Dewan Negeri (DN) Tioman yang akan diadakan esok.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata, peta lencongan jalan serta laluan alternatif yang bermula 7 pagi hingga 2 petang itu disediakan bagi melancarkan perjalanan hari penamaan dan pengguna jalan raya.

“Bagi pengguna yang datang dari arah Kuantan ke Mersing masih boleh menggunakan jalan raya utama dan pada masa sama akan dikawal oleh anggota trafik yang bertugas.

“Kenderaan ringan yang dari arah bertentangan (Mersing ke Kuantan) pula akan melalui dua lencongan jalan iaitu jalan Kampung Bahagia dan laluan masuk dari simpang sebelah Petronas seperti yang disediakan dalam peta laluan alternatif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, semua kenderaan yang melalui lencongan akan keluar melalui jalan Kampung Bahagia 2 iaitu selepas Pejabat Majlis Daerah Rompin.

“Calon/wakil calon serta penyokong parti yang terlibat pada hari penamaan calon esok dinasihatkan agar mematuhi undang-undang, peraturan, etika serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya berharap perkara ini diambil serius oleh semua pihak terlibat bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon bagi DN Tioman ini,” katanya.

Katanya lagi, polis akan menggerakkan semua elemen bagi menjaga keselamatan dan mengawal situasi sepanjang proses penamaan calon. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram