YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

SIDANG DEWAN NEGERI : LIMA KLUSTER INDUSTRI UTAMA DALAM PELAN PEMBANGUNAN WILAYAH EKONOMI PAHANG BARAT PLUS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang telah menggariskan lima kluster industri utama yang akan dijalankan dalam Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata terdapat 46 cadangan Program Intervensi dibawah lima kluster berkenaan.

“Lima kluster industri utama iaitu Kluster Pelancongan; Kluster Pertanian; Kluster Mineral; Kluster Perkayuan dan Kluster Perkhidmatan.

“Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus ini telah diluluskan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus pada 3 Jun 2022.

“Dan seterusnya pada 9 Ogos 2022, telah dibentangkan cadangan Pelan Pembangunan Pahang Barat Plus di mesyuarat JK Bersama Penyelarasan Industri (JBI) diantara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan Kerajaan Negeri iaitu kehadiran Menteri Kanan MITI, dan Alhamdulillah telah diterima dengan baik cadangan 5 kluster industri yang menjadi keutamaan bagi Pahang Barat Plus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong berkenaan usaha jangak pendek dan jangka panjang serta impak diharapkan daripada pelan pembangunan berkenaan pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Beliau berkata terdapat pelaksanaan projek Quick Wins mengikut kluster industri utama yang sedang dijalankan oleh agensi peneraju dan dibawah pantauan Pahang Barat Plus.

“Bagi Kluster Pelancongan, tiga zon pelancongan utama Pahang adalah zon tanah tinggi, zon semula jadi dan zon persisiran pantai atau pulau. Dua daripada zon pelancongan ini berada di Wilayah Pahang Barat iaitu zon tanah tinggi dan zon semula jadi dan ditambah dengan keberadaan masyarakat Orang Asli di keenam-enam daerah dengan keunikan budaya, kraf tangan, kesihatan dan potensi yang dipamerkan oleh masyarakat ini.

“Intervensi yang di ketengahkan sebagai projek Quick Wins adalah untuk Membangunkan Kompleks Perkampungan Budaya Orang Asli di Pos Betau, Lipis,” katanya.

Menurut beliau lagi, bagi Kluster Pertanian terdapat dua intervensi dicadangkan sebagai Quick Wins di daerah Jerantut dan Lipis.

“Projek Pembangunan Lembu Wagyu dan Lembu Pedaging dan Lembu Tenusu di Wilayah Pahang Barat Plus,” katanya.

Bagi Kluster Perkayuan, beliau berkata ia merupakan satu komoditi yang berpotensi diperkasakan sebagai sumber pendapatan Negeri Pahang khususnya dalam Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus.

“Bagi Kluster Mineral pula, sebuah kawasan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Sungai Temau akan dibangunkan bagi tujuan ini,” jelasnya.

Beliau berkata bagi Kluster Perkhidmatan pula, Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan hub lokasi Perkhidmatan Perniagaan Global di Genting Highlands. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram