Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelangai yang juga mantan Menteri Besar Pahang, YB Dato’ Sri Diraja Adnan Yaakob ketika berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, semalam.

DATO’ SRI DIRAJA ADNAN YAAKOB UMUM BERSARA SELEPAS 36 TAHUN BERKHIDMAT

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelangai yang juga mantan Menteri Besar Pahang, YB Dato’ Sri Diraja Adnan Yaakob mengumumkan persaraannya pada penggal ini selepas komited memberikan khidmat kepada rakyat selama lebih 36 tahun.

Menurutnya, kepercayaan memimpin rakyat yang diberikan selama lapan penggal telah melayakkan beliau mentadbir negeri apabila diberi mandat sebagai Menteri Besar Pahang selama 19 tahun.

“Kita semua sedia maklum, Dewan Negeri Pahang akan dibubarkan dalam sedikit masa lagi dan saya menganggap ini ucapan terakhir dalam dewan untuk saya buat sebelum saya bersara sepenuhnya setelah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri selama 36 tahun 2 bulan dan sehingga ke hari ini, 7 hari, selaku orang tua kepada KDYMM Sultan Pahang, Menteri Besar selama 19 tahun,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, semalam.

Dalam ucapannya, beliau turut mengambil kesempatan menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang pernah bersama dengannya dalam mentadbir Pahang selama beliau mencurahkan khidmat dan baktinya.

Beliau juga mengucap syukur kerana Pahang kini berada di bawah pentadbiran kerajaan yang baik pimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam meneruskan legasi untuk membantu rakyat.

“Saya ingin menyatakan bahawa Negeri Pahang bernasib baik mendapat hamba Allah bernama Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, anak Lipis untuk menjadi Menteri Besar. Nyata sekali selain pengalaman, kelayakan, Dato’ Sri Menteri Besar ini merupakan seorang yang mempunyai temperament yang baik maknanya tidak beremosi, tidak marah, tidak mudah excited semacam sesetengah orang,” katanya.

Beliau berharap agar Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dapat meneruskan perkhidmatan cemerlang dan beliau berbangga dengan kebolehan YAB Menteri Besar dalam menambahbaik dan melakukan perkara-perkara baru dengan dibantu oleh kepimpinan negeri.

“Saya percaya, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy akan dapat mengemudi Barisan Nasional pada pilihan raya ini dan InsyaAllah dapat membentuk Kerajaan Negeri Pahang… Terima Kasih banyak kepada YB Dato’ Tuan Yang Dipertua, saya sangat menghargai,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram