Ops Lampu Isyarat Merah di Taman Tas.

INGIN SEGERA SAMPAI KE DESTINASI ALASAN SERING DIBERI PENUNGGANG MOTOSIKAL DISAMAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 1 OKTOBER 2022 : Ingin segera sampai ke destinasi dituju merupakan antara alasan yang sering diberikan penunggang motosikal yang dikenakan saman dalam Ops Khas Lampu Isyarat Merah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pihak polis telah mengeluarkan sebanyak 767 saman berkaitan kesalahan melanggar lampu isyarat merah yang merupakan kesalahan terbanyak dikesan dalam operasi yang bermula sejak 15 September.

“Antara alasan yang diberi kepada kita, mereka beri alasan ingin cepat sampai ke destinasi dan paling ramai kita kesan lakukan kesalahan ini (langgar lampu isyarat merah) adalah di Jalan Lim Hoe Lek.

“Dan dalam operasi bermula 15 September sehingga hari ini, kita telah mengadakan operasi di seluruh Kuantan dengan memberi tumpuan kepada lapan lokasi lampu isyarat di daerah ini, kita telah mengeluarkan sejumlah 941 saman untuk pelbagai kesalahan yang mana ia turut melibatkan sejumlah 767 saman bagi kesalahan melanggar lampu isyarat.

“Sebanyak 351 saman dikeluarkan kepada pemandu kenderaan, dan 282 saman lagi dikeluarkan kepada penunggang motosikal,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas tamat Ops Lampu Isyarat Merah di Taman Tas di sini.

Menurut beliau, tujuan pihak polis menjalankan operasi ini adalah untuk memastikan kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan di kawasan lampu isyarat serta mendidik orang ramai melalui pematuhan undang-undang.

“Sebagai contoh bagi tempoh Januari sehingga September 2021 terdapat 49 kes kemalangan jalan raya di kawasan lampu isyarat. Dan bagi tempoh sama tahun ini, sebanyak 29 kes dicatatkan.

“Walaupun berlaku pengurangan kadar kemalangan di kawasan lampu isyarat, ia menjadi satu keperluan juga untuk pihak polis terus melakukan operasi seperti ini bagi memastikan tidak lagi berlakunya kes kemalangan jalan raya di lampu isyarat,”katanya.

Beliau juga turut menasihati orang ramai supaya mematuhi peraturan lalu lintas yang telah digariskan bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang.

“Kita minta kepada semua pemandu dan penunggang motosikal supaya berhati-hati di jalan raya kerana setiap tindakan mereka semasa berada di lampu isyarat ini berada di dalam pemerhatian (kamera litar tertutup),” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram