Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 1 OKTOBER 2022 : Seramai 351 graduan Pahang Skills Development Centre (PSDC) berjaya menamatkan pengajian mereka dan menerima diploma dan sijil masing-masing yang telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Konvokesyen Pahang Skills Ke-11 yang berlangsung di Dewan Utama Pahang Skills, hari ini.
Dalam ucapan beliau, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan yang bergraduat kerana ia melambangkan pencapaian dalam bidang keilmuan yang menjadi penanda aras kepada kecemerlangan masing-masing.
“Tahniah juga kepada semua ibu bapa yang telah memberi sokongan tidak berbelah bahagi sehingga anak tuan-tuan dan puan-puan semua akhirnya bergelar graduan pada hari ini.
“Sesungguhnya kejayaan anak-anak anda hari ini adalah kejayaan anda juga. Tahniah,” katanya.

Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Pahang Skills, YH. Dato’ Haji Mas’ut Awang Samah.
Pada majlis konvoksyen itu turut disampaikan Anugerah Khas Menteri Besar Pahang kepada Muhamad Faaiz Mohd Sabri, Anugerah Pengerusi Pahang Skills kepada Muhammad Abdullah Fikri Mohd Hairi dan Anugerah Pengarah Eksekutif kepada Mohd Danial Fikri Jamaluddin.
Turut disampaikan ialah Anugerah Khas Yayasan Pahang kepada Nurul Najihah Sofea Umar dan Anugerah Khas Lynas kepada dua penerima iaitu Muhammad Danial Daeme dan Nurfarah Adila Hamidun.
Dalam ucapannya juga, beliau turut menyatakan rasa puas hati terhadap peranan Pahang Skills sebagai institusi TVET utama di Pahang dan telah melatih seramai 57,407 peserta latihan di pelbagai peringkat.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berharap para graduan akan mendapat pekerjaan yang sesuai dengan bidang pengajian dan dapat memberi sumbangan dan perkhidmatan di negeri ini.
“Kepada para graduan yang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, timbalah ilmu sebaik mungkin untuk meningkatkan lagi kemahiran ilmiah dan sahsiah sedia ada,” katanya. – PAHANGMEDIA