Oleh : Fairus Mohd
Foto : Amzari Mohammad (Unit Media Pejabat MB)
KUALA LIPIS, 24 SEPTEMBER 2022 : Kesulitan dan kesukaran hidup dilalui rakyat di negeri ini terus mendapat perhatian Persatuan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Pahang (TERATAI) yang turun padang menghulurkan bantuan.
Pengerusinya, Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed berkata, ia merupakan antara objektif utama persatuan ini dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga sekaligus mendukung kerjaya suami selaku wakil rakyat di kawasan masing-masing.

“Pada hari ini kita berkesempatan bertemu dan menyampaikan sumbangan kepada 180 orang anak-anak yatim dari Dewan Negeri (DN) Jelai selain sumbangan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang diagihkan kepada 21 orang pelatih dan lima orang petugas bagi DN ini.
“Besar harapan agar sumbangan ni dapat membakar semangat PDK DN Jelai untuk berusaha dengan lebih aktif lagi bagi membantu insan-insan istimewa yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU) supaya mereka dapat berdikari dan berintegrasi dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim, pelatih serta petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) DN Jelai anjuran Persatuan Amal Isteri TERATAI dengan kerjasama Pejabat YAB Menteri Besar Pahang dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Negeri (DN) Jelai di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan di sini.
Hadir sama, Naib Yang Dipertua 1, Datin Sri Dato’ Khadijah Ibrahim, Setiausaha Kehormat TERATAI, Datin Norziana Yusoff dan Penolong Setiausaha TERATAI, Datin Sri Marzita Mansor.

Pada sebelah pagi Datin Sri Dato’ Burhah bersama barisan jawatankuasa dan ahli TERATAI menyertai majlis Gema Quran bersama Pengasas Akademi Diwan Ar-Rital, Ustazah Dr. Haniah Salwana Abdul Rahim di Dewan UMNO Cameron Highlands, Sungai Koyan di sini.
Pada sesi majlis ilmu tersebut hadirin berkesempatan mendengar ceramah berkenaan kitab suci Al-Quran menerusi Rasulullah SAW sebagai hidayah dan petunjuk dalam kehidupan sebagai umat manusia supaya tidak tersesat atau menyimpang daripada landasan kehidupan manusia.
Selain itu kepentingan mempelajari Al-Quran adalah satu kewajipan, bukan setakat dengan cara membaca dan mengetahui hukum tajwid sahaja, malah adalah lebih penting untuk mempelajari dan menghayati isi yang terkandung dalam Al-Quran itu sendiri. -PAHANGMEDIA