Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 2 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang telah meluluskan 83 tanah di bawah Skim Tanah Rakyat (STR) di seluruh Pahang membabitkan tanah berkeluasan 12,761 ekar sehingga 30 Jun 2022.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perlaksanaan STR ini merupakan usaha kerajaan negeri dalam membantu rakyat memiliki tanah sendiri sama ada bagi tujuan pertanian mahu pun membina kediaman.
Menurutnya, perlaksanaan STR ini juga merupakan serampang dua mata yang dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak termasuklah rakyat dan pihak kerajaan sendiri.
“Pelaksanaan Skim Tanah Rakyat ini juga merupakan serampang dua mata, iaitu selain rakyat mendapat tanah yang kerajaan negeri berikan untuk dibangunkan sebagai kawasan kediaman atau pertanian, kerajaan negeri juga boleh meningkatkan kutipan hasil melalui bayaran kutipan cukai tanah yang perlu dibayar oleh pemilik tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Datin Shamsiah Arshad pada sesi soal jawab Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini hampir semua daerah terlibat dengan STR termasuklah Jerantut dengan 17 projek, Lipis (36), Temerloh (6), Raub (5), Kuantan (7), Maran (9), Pekan (1) dan Cameron Highlands (2).
Manakala bagi daerah Bera, Rompin dan Bentong boleh mengemukakan permohonan bagi perlaksanaan STR di kawasan masing-masing.
Menjawab soalan daripada ADN Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Mahmud berhubung isu bekalan air, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, pihak kerajaan dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) komited mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu terbabit.
“Hasil daripada perbincangan itu sebanyak RM2.3 bilion diperuntukkan daripada segala sumber kewangan untuk 237 projek. Jumlah 237 ini merangkumi 77 projek yang telah siap, 34 projek dalam pembinaan dan selebihnya masih dalam peringkat rekabentuk,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta agar wakil-wakil rakyat dapat berhubung terus dengan pegawai PAIP di kawasan masing-masing bagi mendapatkan status perkembangan semasa pembangunan perpaipan di daerah masing-masing. – PAHANGMEDIA