Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 2 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang akan berusaha melaksanakan kerja-kerja memulihkan Tasik Chini bagi memastikan pengiktirafan status sebagai Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dapat dikekalkan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha ini telah mencapai hampir 80 peratus termasuklah kerja-kerja memulihara dan menghijaukan tasik berkenaan.
“Kerajaan Negeri akan sedaya upaya memastikan supaya pengiktirafan UNESCO terhadap Tasik Chini dapat dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Semambu, YB. Lee Chean Chung pada sesi soal jawab Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, pagi tadi.
Beliau berkata, antara usaha dilakukan adalah mewartakan Tasik Chini sebagai Hutan Simpan Chini membabitkan keluasan 6,502 hektar mengikut Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984.
Kerajaan negeri juga telah melaksanakan projek penghijauan Tasik Chini dengan menanam tanaman tutup bumi membabitkan tanah berkeluasan 200 hektar dengan kos RM3.95 juta yang dijalankan bermula 23 Ogos 2021 dan telah mencapai hampir 90 peratus.
Beliau berkata, kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang turut bertindak terhadap kawalan hakisan dan mendapan di dalam zon penampan Tasik Chini sepanjang 1.75 kilometer dengan kos RM2.5 juta dan telah selesai sepenuhnya pada 22 Jun 2022.
Malah katanya, kerajaan turut mengadakan usahasama bersama masyarakat Orang Asli di kawasan setempat bagi melaksanakan Projek “Buy Back Guarantee” tapak semaian Tasik Chini di mana proses penyemaian pokok dilakukan oleh masyarakat terbabit dan sehingga kini sebanyak 3,344 pokok telah dibeli kembali oleh Jabatan Perhutanan Negeri untuk ditanam semula di tasik berkenaan.
Pelbagai usaha telah dilakukan termasuklah mengadakan kempen kesedaran membabitkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk Tasik Chini yang telah dilaksanakan pada Februari lalu dengan melibatkan 400 peserta dan 25 NGO di mana sebanyak 1,000 anak pokok telah diserahkan kepada penduduk setempat. – PAHANGMEDIA