Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang YB. Dato’ Haji Nazri Ngah ketika merasmikan Majlis Penutup Karnival Hari Usahawan Negeri Pahang Sempena Minggu PMKS 2022 Dan Penyerahan Dana Skim Pembiayaan Kerajaan Usahawan Mikro Pahang (i-Push) serta Kecemasan PKS (SMEEF) 2.0 di Bazaar Serambi Teruntum, hari ini.

KERAJAAN NEGERI KONSISTEN BANTU LONJAK USAHAWAN IKS DAN PKS

Oleh : Fairus Mohd

KUANTAN, 3 JULAI 2022 : Kerajaan Negeri terus komited dalam mengangkat usahawan IKS dan PKS ke tahap yang lebih tinggi melalui penyaluran bantuan, pembiayaan mahupun sokongan dalam pelbagai bentuk.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, ia termasuk penganjuran Karnival Hari Usahawan Negeri Pahang yang diadakan selama tiga hari di Serambi Teruntum sejak Jumaat lalu.

“Kerajaan Negeri juga telah membelanjakan sebanyak RM250,000 untuk menyokong karnival ini di mana peruntukan itu digunakan untuk penyediaan tempat serta bayaran acara-acara program seperti ceramah, persembahan dan sebagainya.

“Ini adalah komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan platform terbaik untuk para usahawan memperkenalkan produk masing-masing di mana ia turut mengangkat setiap nama daerah dan negeri ini khususnya.

“Seramai 80 usahawan dari serata Pahang menyertai karnival yang diadakan walaupun pihak penganjur menerima lebih 150 permohonan untuk menyertai acara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Hari Usahawan Negeri Pahang Sempena Minggu PMKS 2022 di Bazaar Serambi Teruntum, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya menerima 1100 permohonan bagi Dana Skim Pembiayaan Kerajaan Usahawan Mikro Pahang (i-Push) dan kini berada di peringkat temuduga dan pemilihan.

“Di tempat saya sendiri iaitu seramai 88 orang pemohon telah siap ditemuduga dan saya difahamkan beberapa daerah juga telah siap temuduga di mana ia melibatkan setiap exco di setiap kawasan.

“Mereka yang terpilih akan diumumkan nanti kerana pada masa ini kerja-kerja temuduga masih belum selesai sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap keperluan mewujudkan pusat atau bengkel yang melakukan retort ke atas produk makanan yang dihasilkan usahawan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang YB. Dato’ Haji Nazri Ngah

“Sebelum ini ada di Jerantut tapi ia milik orang perseorangan, jadi sekarang Kerajaan Negeri memikirkan pentingnya teknologi retort bagi membantu produk-produk usahawan IKS/PKS seperti sambal tempoyak, sambal hitam, ikan pekasam atau jeruk dan sebagainya.

“Kita akan berkolaborasi dengan SIRIM dan telah kenalpasti bangunan di daerah Jerantut untuk dijadikan bengkel atau pusat retort. Ia memerlukan modal sehingga RM80,000 dan perkara ini di peringkat kertas kerja dan saya akan bawanya ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pembungkusan retort adalah kaedah pembungkusan makanan dicipta dengan pemprosesan aseptik yang diperbuat daripada pelbagai lapisan berlamina fleksibel.

Teknologi berkenaan membenarkan pensterilan pelbagai makanan dan minuman yang dianggap aspek paling penting dalam pembungkusan makanan terutamanya melibatkan pengekalan produk bagi tempoh masa sehingga dua ke tiga tahun. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram