YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang Kepada Mahasiswa Anak Pahang di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.

200 MAHASISWA ANAK PAHANG DI UMS TERIMA BPP

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KOTA KINABALU, 02 JULAI 2022 : Kira-kira 200 mahasiswa anak Pahang yang sedang menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) daripada Kerajaan Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata UMS merupakan lokasi pertama yang menerima sumbangan melalui Yayasan Pahang ini.

“Hari ini saya berada di Universiti Malaysia Sabah dalam satu program bersama mahasiswa-mahasiswi anak-anak Pahang, di mana Kerajaan Negeri hari ini memberi sedikit sumbangan yang kita kenali sebagai Bantuan Perihatin Pahang yang berjumlah RM200 seorang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Bantuan ini bukan sahaja untuk pelajar Sabah tapi akan diberikan kepada semua mahasiswa anak Pahang di seluruh IPTA dan IPTS di negara ini selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang Kepada Mahasiswa Anak Pahang di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.

Turut hadir Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Beliau berkata bantuan yang melibatkan implikasi kewangan hampir RM9 juta ini akan diberikan kepada kira-kira 43,000 pelajar yang diharap dapat menjadi aset negeri terutamanya dalam bidang profesional.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama mahasiswa anak Pahang selepas Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang Kepada Mahasiswa Anak Pahang di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.

“Kita nak lebih ramai lagi cendiakawan, lebih ramai anak-anak Pahang dapat belajar dan tidak berlaku kekurangan (sumber pekerja) sebenarnya.

“Kita cukup (pekerja) tapi nak tambah lagi, lagi ramai lagi bagus yang boleh masuk universiti, lagi ramai anak-anak Pahang yang graduate sebab bila mereka belajar, mereka ada ilmu dan boleh sumbangkan balik kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama di antara Yayasan Pahang bersama Yayasan Sabah, beliau berkata ia masih dalam peringat awalan dan penelitian pihaknya lagi.

“Tapi kita yakin, kekuatan di tempat-tempat lain itu kita boleh terima untuk kita adapt di tempat kita. Kadang-kadang ada benda yang kits terlepas pandang yang kita tidak tahu, tidak sengajakan.

“Kalau kita duduk sekali, kita pergi jumpa, duduk sekali, kongsi pengalaman mungkin kita boleh kongsi. Ini untuk kebaikan semua,” katanya.

Beliau dalam majlis sama turut memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Program Food Bank Pelajar UMS.

Kerajaan Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM29.91 juta bagi Bantuan Prihatin Pahang 2022 (BPP) yang disalurkan kepada rakyat melibatkan empat kluster utama. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram