Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BENTONG, 23 JUN 2022 : Kemajuan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah berada pada tahap 30 peratus setakat Mei tahun ini.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan projek yang menelan kos RM50.27 bilion dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2026.
“Projek ECRL ini melibatkan jarak jajaran 665 kilometer merentasi empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dan ini merupakan satu pencapaian
bersejarah negara.
“Pelaksanaannya menelan kos RM50.27 bilion dan telah menyaksikan tahap kemajuan projek sebanyak 30 peratus sehingga bulan Mei lalu dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Permulaan Pembinaan Terowong Genting ECRL Pahang di sini, hari ini.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Dato’ Sri Ir. Dr. Wee Ka
Siong; Timbalan Menteri Kewangan I, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak; Naib Presiden China Communications Construction Company Ltd (CCCC), Sun Ziyu; dan Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bh (CCCECRL), Kong Qi.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.
Beliau berkata pengorekan terowong projek
ECRL menggunakan kaedah Mesin Pengorek Terowong (TBM) yang terbesar di Asia
Tenggara ini merupakan satu-satunya terowong yang menggunakan kaedah penggerudian terowong.
“Pengorekan Terowong Genting sepanjang 16.39 km ini merupakan satu-satunya daripada penggerudian 59 terowong menggunakan kaedah TBM berbanding kaedah gerudi dan letup bagi terowong-terowong sebelum ini.
“Mesin TBM buatan China seberat 1,600 tan ini mampu menembusi Banjaran Titiwangsa di sepanjang kawasan Bukit Tinggi menghubungkan Bentong, Pahang dengan Terminal Bersepadu Gombak yang menjadi pintu masuk utama ke ibu negara.
“Pembinaan Terowong Berkembar Genting ini adalah antara komponen utama Projek ECRL kerana ia dapat melengkapkan ‘jambatan drat’ atau landbridge bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang,” katanya.
Tambah beliau lagi, pengorekan Terowong Berkembar Genting yang akan menjadi terowong rel terpanjang ini dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun.
“Penggerudian terowong bermula dengan penembusan Terowong Paka sepanjang 1.1 kilometer pada 9 April 2021, enam bulan lebih awal berbanding jadual asal.
“Tujuh buah terowong di Terengganu dan Pahang yang berukuran antara 190 meter hingga 1.1 kilometer setiap satu, telah pun selesai.
“Pengorekan Terowong Kuantan sepanjang 2.8 kilometer antara Dungun di Terengganu dan Mentakab di Pahang pula dijangka selesai pada suku keempat tahun ini,” katanya.
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berkelajuan 160km sejam ini dijangka beroperasi pada bulan Januari 2027 ini menawarkan jalinan pengangkutan lebih moden, selamat, dan efisien ke Pantai Timur. -PAHANGMEDIA