Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 24 JUN 2022 : Usaha mengangkat ikon pahlawan negeri Pahang, Mat Kilau dalam filem terkini arahan Syamsul Yusof menjadi platform untuk anak muda khususnya di negeri ini mengenali figura berbakti itu secara lebih dekat.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, ia meniup semangat kebangkitan pahlawan dahulu yang berjuang demi agama, bangsa dan negara.
“Kita dapat lihat filem ini mampu membangkitkan semangat patriotik yang ada dalam diri seterusnya menjadi insiprasi di kalangan anak-anak muda.

“Ia juga memberi gambaran mengenai selok belok sejarah perjuangan Mat Kilau serta bangsa Melayu dalam menentang penjajahan British ketika itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menonton filem berkenaan bersama-sama 150 orang belia yang hadir memenuhi tayangan anjuran Majlis Belia Negeri Pahang di GSC East Coast Mall, semalam.
Mengulas lanjut berkenaan penganjuran yang dilakukan, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari berkata, ramai anak muda kini mungkin telah lupa dengan jerih perih perjuangan generasi terdahulu dalam mempertahankan tanah air.
“Kita tahu Mat Kilau adalah satu ikon, namun pembikinan filem yang mengangkat ikon ini telah ‘polish’ watak ini untuk memberi gambaran lebih jelas mengenai perjuangan yang telah dilakukan dahulu.
“Sekurang-kurangnya anak muda yang menonton filem ini akan nampak dan sematkan dalam jiwa makna sebenar perjuangan dalam membela agama, bangsa dan tanah air,” katanya. – PAHANGMEDIA