Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff bersama Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari meninjau projek-projek bekalan air di Nenasi termasuk di perkampungan Orang Asli bersama pihak PAIP, wakil JAKOA, Penghulu, Ketua Kampung dan penduduk setempat di Pekan hari ini

MASALAH BEKALAN AIR TANJUNG BATU, NENASI DAN MERCHONG BAKAL SELESAI

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Mahathir Ali

PEKAN, 16 JUN 2022 : Masalah bekalan air yang berbau, payau dan bertekanan rendah melibatkan kira-kira 2,000 akaun pengguna di sekitar Tanjung Batu, Nenasi dan Merchong bakal selesai dengan usaha Kerajaan Negeri melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) membina rumah pam dan pemasangan paip bagi tujuan penyaluran air dari Loji Rawatan Air (LRA) Ganchong.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pada asalnya penyaluran bekalan air di kawasan terbabit melibatkan air yang diambil dari dalam tanah.

“Kita dapati bahawa air di dalam tanah mempunyai kandungan galian yang tinggi, dan mempunyai bau dan warna sebab itu Kerajaan Negeri ambil keputusan untuk teruskan dan menyiapkan projek ini yang telah bermula pada April lalu dan dijangka siap pada September 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff bersama Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari meninjau projek-projek bekalan air di Nenasi termasuk di perkampungan Orang Asli bersama pihak PAIP, wakil JAKOA, Penghulu, Ketua Kampung dan penduduk setempat di sini hari ini

“Pada masa ini sebahagian daripada air yang dibekalkan berpunca daripada loji Rompin, namun selepas projek siap kita akan guna sepenuhnya bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Ganchong untuk disalurkan ke Tanjung Agas seterusnya ke Nenasi di mana loji air Nenasi akan bertindak menyalurkan air ke kawasan terlibat. Apabila ia siap kelak, kita tidak lagi bergantung kepada loji air Rompin dan bekalan air bersih akan bertambah lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Corporate Social Responsibility (CSR) Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bersama-sama masyarakat Kampung Merchong di Dewan Orang Kampung Merchong, di sini.

Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Ybhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari, Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkifli, Ketua Penolong Pegawai Daerah Pekan, Puan Nursafariza Ihsan serta Pengurus PAIP Daerah Pekan, Encik Muhamad Faiz Abu Zaki.

Dalam pada itu beliau berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Ganchong kini membekalkan sebanyak 80 juta liter air sehari dan jumlah berkenaan adalah separuh daripada kapasiti kemampuannya membekalkan air.

“Kapasiti semasa Loji Rawatan Air (LRA) Ganchong itu telah dapat menampung keperluan air penduduk sekitar termasuk Nenasi dan Merchong.

“Pihak PAIP kini sedang berusaha bersama pihak ECERDC untuk menambah fasiliti di Loji Rawatan Air (LRA) Ganchong untuk memaksimakan pengeluaran bekalan air yang mampu dihasilkan loji air tersebut iaitu sebanyak 160 juta liter sehari,” katanya.

Sementara itu, beliau yang turut berkesempatan melawat beberapa loji di kawasan terlibat berharap agar perjumpaan bersama penduduk yang diadakan dapat memberi kelegaan dan penyelesaian yang baik terhadap isu berkaitan air yang dihadapi.

“Hari ini kita adakan lawatan bersama PAIP dan Pejabat Tanah dan Daerah Pekan untuk tinjau projek bekalan air di Tanjung Batu Nenasi dan Merchong, kita juga dah pergi Kampung Selingkong untuk melihat projek bekalan air di sana yang melibatkan masyarakat Orang Asli.

“Ini menjadi ruang untuk kita bagi penjelasan kepada kepimpinan setempat berkenaan status terkini projek bekalan air di Nenasi serta kerja-kerja yang dilakukan dalam usaha membekalkan air ke seluruh Tanjung Batu dan Merchong.

“Setiap permasalahan air termasuk di kawasan ini juga diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan negeri di mana setiap dua minggu akan ada mesyuarat bagi memastikan status bekalan air berjalan lancar,” katanya.

Menurut beliau, perjumpaan dengan penduduk juga dapat memberi penjelasan berkenaan status terkini projek pembinaan tangki air dan rumah pam di Sungai Miang, Nenasi dan Kampung Serun selain mendengar pertanyaan dan penjelasan berkenaan perancangan kerajaan negeri melalui PAIP. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram