Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 16 JUN 2022 : Sebanyak 42,965 unit rumah Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Pahang telah diluluskan pembinaannya setakat 31 Mei lepas melibatkan 169 projek di seluruh negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi daerah Rompin sahaja, sebanyak 14 projek telah diluluskan melibatkan pembinaan 2,843 unit rumah.

“Status pelaksanaan Projek PR1MA di daerah Rompin setakat ini melibatkan dua projek sedang dalam proses pembinaan, manakala 12 projek lagi dalam perancangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Dan Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA Pahang) Muadzam Shah Berhampiran Taman Pinggiran Pelangi, Bandar Muadzam Shah di Rompin.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tioman YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain dan Ahli Parlimen Rompin, YB. Dato’ Sri Hassan Ariffin.
Menurut beliau lagi, projek PR1MA Muadzam Shah ini melibatkan pembinaan di atas tapak seluas kira-kira 24 hektar serta dimajukan olen Geofound Construction Sdn Bhd.
“Projek in melibatkan 412 unit rumah berkembar berkeluasan 1,000 kaki persegi yang dibina di atas tanah seluas 2,800 kaki persegi dan dijual pada harga RM150,000 seunit.
“Sebanyak 17 lot kedai dua tingkat dan sebuah lot perniagaan turut dibina di sini bagi memberi kemudahan kepada penduduk. Bagi menambah keselesaan penghuni, projek in turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tadika, surau, tapak penjaja, tangki air, dan dewan orang ramai,” katanya.
Tambah beliau lagi, pembinaan ini merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan olen Kerajaan Pahang untuk memenuhi keperluan asas rakyat di negeri ini.
“Dalam hal ini, agenda perumahan rakyat adalah antara misi ulama yangakan terus diperkasakan.
“Saya berharap, dengan adanya projek-projek perumahan rakyat yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri ini, kualiti kehidupan rakyat Pahang dapat dipertingkatkan selain memastikan tiada seorang pun daripada rakyat Pahang tertinggal daripada menikmati kemajuan ini,” katanya. -PAHANGMEDIA