Lima buah kubur lama di sebuah kawasan berbukit terasing dari tanah perkuburan Kampung Aur, Bukit Ibam dipindahkan semalam bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan jalan dan jambatan baharu Kampung Aur.

LIMA KUBUR LAMA DI KAMPUNG AUR DIPINDAHKAN

Oleh: Fairus Mohd

ROMPIN, 3 JUN 2022 : Lima buah kubur lama di sebuah kawasan berbukit terasing dari tanah perkuburan Kampung Aur, Bukit Ibam dipindahkan semalam bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan jalan dan jambatan baharu Kampung Aur.

Kerja-kerja pengalihan terbabit dijalankan pihak Pejabat Agama Islam Daerah Muadzam Shah dengan kerjasama Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan melibatkan seramai lapan orang Pegawai Forensik HTAA dan lima orang Pegawai Forensik Hospital Muadzam Shah dengan bantuan jentera dari JKR Daerah Rompin.

Proses berkenaan mengambil masa selama tiga jam bermula pukul 10 pagi sehingga pukul 1 petang. Jenazah yang ditemui telah diserahkan kepada pihak PAID, jawatankuasa Masjid Kampung Aur serta waris untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Aur yang baharu.

Proses pengalihan itu turut dihadiri Sahibul Fadhilah Timbalan Mufti Negeri Pahang, Dato’ Haji Ahmad Zaki Md Zain, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Dato’ Hajah Samsiah Haji Arshad, Kadi Daerah Muadzam Shah, Al-Fadhil Ustaz Haji Bunyamin Abdul Ghani, kakitangan PAID Muadzam Shah, pegawai dan kakitangan MUIP Muadzam Shah, JKR Daerah Rompin, wakil kontraktor serta keluarga waris jenazah terbabit.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Dato’ Hajah Samsiah Haji Arshad (tengah) turut hadir menyaksikan proses perpindahan lima buah kubur lama di sebuah kawasan berbukit terasing dari tanah perkuburan Kampung Aur, Bukit Ibam.

Dalam pada itu, Kadi Daerah Muadzam Shah, Al-Fadhil Ustaz Haji Bunyamin Abdul Ghani berkata, pengalihan dilakukan atas permintaan pihak JKR bagi melaksanakan projek pelebaran jalan dan pembinaan jambatan kokrit Kampung Aur.

“Pihak JKR memaklumkan terdapat lima unit kubur yang perlu dialih bagi tujuan projek berkenaan dan telah dikenalpasti berdasarkan maklumat waris di mana dua darinya bertanda dan tiga tidak bertanda.

“Menurut waris, kubur bertanda yang bernama Mehran dan anaknya telah disemadikan pada tahun 1926 dimana ketika itu banjir besar telah melanda Kampung Aur hingga menyebabkan terputus hubungan jalan untuk ke tanah perkuburan mengakibatkan jenazah tidak dapat dikebumikan di tanah perkuburan yang sebenar,” katanya.

Katanya, setelah mendapat persetujuan dari Pejabat Mufti Pahang, berdasarkan hukum syarak yang telah ditetapkan selain persetujuan dari pihak waris, lima unit kubur terbabit telah selamat dialihkan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Aur.

Sementara itu ADN Bukit Ibam, YB Dato’ Hajah Samsiah berkata, pembinaan jambatan baharu terbabit telah lama dirangka dan kini usaha-usaha untuk membina jambatan tersebut akan dilaksanakan.

“Jambatan tersebut bakal menghubungkan penduduk Kampung Aur dengan Kampung Aur Seberang serta kampung sekitarnya yang selama ini hanya menggunakan laluan jambatan gantung dan perahu untuk merentas sungai Aur.

“Terima kasih kepada waris yang terlibat kerana memberi keizinan untuk memindahkan kesemua kubur terbabit demi pembangunan dan keselesaan penduduk kampung ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram