Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin ketika menerima lawatan Kerja Kerajaan Negeri Perak ke Negeri Pahang bagi sektor pelancongan di Bilik Gerakan Negeri, Tingkat 7, Wisma Sri Pahang.

ENAKMEN HOTEL PAHANG JADI MODEL RUJUKAN SEKTOR PELANCONGAN PERAK

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 02 JUN 2022 : Enakmen Hotel (Pahang) 2020 Kerajaan Pahang akan dijadikan model dan rujukan bagi diimplimentasikan dalam pengurusan sektor pelancongan Negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, ia melibatkan yuran lestari dan produk pelancongan yang ditawarkan di negeri ini.

“Kita telah dikunjungi oleh delegasi Kerajaan Negeri Perak. Pada hari ini kita membincangkan berkenaan pelancongan dan Kerajaan Perak ingin mengetahui pengalaman kerana kita di Pahang ini telah menetapkan yuran lestari kepada hotel.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin.

“Mereka, Kerajaan Perak bertanyakan kaedah dan cara kita melaksanakan perkara tersebut (yuran lestari). Kita juga membincangkan berkenaan produk-produk pelancongan baharu dan cara untuk kita meneruskan industri pelancongan selepas COVID-19 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas program Lawatan Kerja Kerajaan Negeri Perak ke Negeri Pahang bagi sektor pelancongan di Bilik Gerakan Negeri, Tingkat 7, Wisma Sri Pahang yang dipengerusikan oleh Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan, dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, YB. Dato’ Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Tambah beliau lagi, pertemuan ini juga memberi ruang kepada Kerajaan Perak untuk menggunakan enakmen dan kaedah yang digunakan Kerajaan Pahang mengikut acuan mereka sendiri.

“Mereka hanya menggunakan Pahang sebagai model. Apa yang sesuai atau tidak akan dikaji dan dibaiki oleh Kerajaan Perak. Kerana apa yang dijalankan di Pahang tidak semestinya sesuai dilaksanakan di Perak dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Menurut beliau, pertemuan ini juga membolehkan Kerajaan Pahang mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan Perbadanan Taman-taman Negeri daripada Kerajaan Perak.

“Kita juga belajar perkara baharu daripada Kerajaan Perak telah pun ada Perbadanan Taman-taman Negeri tapi kita (Kerajaan Pahang) baharu sahaja tubuhkan.

Beliau berkata kerjasama di antara Kerajaan Pahang dan Kerajaan Perak juga bukanlah satu perkara baharu memandangkan Kerajaan Perak sebelum ini telah menggunapakai sistem e-perumahan daripada Kerajaan Pahang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram