Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 31 Mei 2022 : Pahang mampu melahirkan lebih ramai pelapis pemimpin muda berkualiti melalui Sidang Belia Dewan Negeri Pahang yang diadakan kali kedua tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, ia adalah satu cara peradaban tinggi dalam menyampaikan sesuatu hasrat atau isu untuk dibahaskan secara tersusun dan tenang.
“Sidang belia ini membantu kerajaan negeri untuk mendekati lebih 780,000 orang belia di bawah 40 tahun atau lebih 490,000 orang belia di bawah umur 30 tahun.
“Belia masa kini tidak lagi berhimpun di jalanan bagi meluahkan isi hati mereka tentang pentadbir kerajaan kerana platform yang disediakan oleh kerajaan sebagaimana kini di Sidang Belia adalah sebagai salah satu platform bagi membantu pentadbir kerajaan secara ilmiah selain mengatur selia dalam menjamin kemampanan dan kejayaan membantu rakyat khususnya anak muda secara menyeluruh.
“Segala perbahasan yang dilemparkan oleh YB sekalian akan diperhalusi bagi mendapatkan titik kebersamaan yang boleh digunakan dan direncana semula oleh kerajaan demi pembangunan belia di masa hadapan.
Tahap kematangan yang ditonjolkan ketika perbahasan amatlah dikagumi dan ini menunjukkan kerajaan tidak ketandusan kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Sidang Belia Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau berharap agar belia dapat segera menyesuaikan personaliti diri, kemampuan intelektual tanpa meninggalkan spiritual dengan keadaan sekeliling agar boleh bergerak berseiringan dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) .
“Konteks persaingan dan kreativiti dari sudut teknologi maklumat, inovasi dan persaingan ekonomi kini semakin sengit.
“Tugas merapatkan jurang garapan teknologi sesama anak muda harus menjadi keutamaan kepimpinan anak muda agar mereka yang ketinggalan dalam arus Revolusi Industri ini boleh bergerak seiring bagi merealisasikan transformasi belia secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menyeru golongan belia dalam kemampuan mempengaruhi agar sentiasa menghargai pendirian dan pendapat orang lain tanpa melukai hati mereka.
“Karektor atau personaliti anak muda yang memiliki semangat juang, kesatriaan, patriotisme, kesukarelawanan, bertanggungjawab, serta memiliki sifat kritis, idealis, inovatif, progresif, dinamik, transformasi dan futuristik haruslah ditonjolkan bagi memperlihatkan kualiti kepimpinan dan profesionalisme anak muda adalah di tahap yang tertinggi.
“Pemikiran berwawasan atau kata lainnya sentiasa berpandangan jauh perlu terjemahkan dengan sentiasa memperhalusi visi dan misi setiap tindakan yang ingin dilaksanakan agar ianya menepati dan menjiwai sosialisasi masyarakat di masa hadapan,” katanya. -PAHANGMEDIA