Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 31 MEI 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Pahang Digital 2021-2025.
Digital Pahang ini merupakan perancangan lima tahun Kerajaan Negeri bagi mewujudkan ekosistem digital yang komprehensif dan saling berhubung.
Turut mengiringi keberangkatan baginda, YAM Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Barisan EXCO Kerajaan Pahang.
Sementara itu, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin dalam sembah ucapan beliau berkata sebanyak empat teras telah dikenalpasti dalam pelan digital ini.
“Tiga fasa pelaksanaan dirancang iaitu Fasa Pertama pada tahun 2021 dan tahun ini 2022, Fasa Kedua tahun 2023 dan 2024, serta Fasa Terakhir pada tahun 2025.
“Pelan ini yang mula dirancang untuk diwujudkan pada tahun 2020 melibatkan usahasama daripada agensi Kerajaan Negeri dan agensi Kerajaan Persekutuan serta wakil industri dalam beberapa bengkel yang diadakan. Pandangan rakyat juga diambil kira dengan laman web khusus telah diwujudkan bagi rakyat memberikan pandangan mereka.
“Hasilnya empat teras telah dikenalpasti iaitu infrastruktur digital, kerajaan digital, inklusif digital dan industri digital,” katanya.
Beliau berkata terdapat 10 strategi digital telah juga telah dirangka melibatkan 50 inisiatif digital yang turut menyenaraikan 94 solusi digital.
“94 solusi digital disenaraikan untuk diadaptasi oleh enam fokus industri iaitu perniagaan dan keusahawanan, pembinaan, pelancongan dan rekreasi, perkilangan, pendidikan dan modal insan, serta pertanian dan penternakan,” katanya. – PAHANGMEDIA