Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 17 APRIL 2022 : Kerajaan negeri telah meluluskan Skim Pelombong Kecil (SPK) di Luit, Maran dan Mukim Kechau, di sini khusus bagi aktiviti perlombongan mineral yang melibatkan kawasan seluas 4.05 hektar ke bawah.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, skim berkenaan diberikan
kepada pengusaha yang mempunyai tanah hak milik persendirian sebagai alternatif bagi mengelakkan ketirisan dan kebocoran hasil Kerajaan Negeri.
“Seperti hari ini kita telah menyerahkan sijil SPK kepada 49 pengusaha di Mukim Kechau di sini yang mana tanah milik mereka mempunyai hasil mineral seperti emas dan bijih besi. Skim ini juga merupakan yang pertama di Pahang.
“Usaha ini bagi memastikan mereka melombong secara sah namun dalam pemantauan yang rapi oleh Kerajaan Negeri selain memastikan aktiviti terbabit berjalan lancar, teratur dan mematuhi undang-undang,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar I, YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Mohamad, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi PKPP, Dato’ Suhaimi Mohd Yunus, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram.
Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala semantan, YB. Dato’ Nor Azmi Mat Ludin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long serta Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menjelaskan, sekiranya SPK tidak diluluskan, Kerajaan Negeri akan mengalami kerugian ekoran aktiviti perlombongan secara haram.
“Andai SPK tidak diberi kelulusan, mungkin pengusaha melombong secara senyap-senyap tanpa pengetahuan kita. Hasilnya pula nanti dijual secara tidak sah. Jadi lebih baik kita beri kebenaran namun dengan pemantauan yang rapi.
“Aktiviti perlombongan secara sah ini juga memberi pendapatan kepada pemilik tanah selain Kerajaan Negeri juga tidak hilang hasil,”ujarnya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang memiliki tanah milik persendirian yang mempunyai hasil bumi seperti emas dan bijih agar dapat tampil membuat permohonan kepada agensi berkaitan.
“Kalau ada lagi kita akan pertimbangkan, jadi saya menyeru mereka ada tanah milik, ada hasil mineral seperti emas dan bijih utk tampil mengemukakan permohonan SPK.
“Semua kegiatan perlombongan perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri dan mereka yang berhasrat melakukan aktiviti itu perlu membuat permohonan serta harus memenuhi syarat ditetapkan,” katanya. -PAHANGMEDIA