Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
LIPIS, 10 APRIL 2022 : Kerajaan Pahang melalui Yayasan Pahang telah memberi sumbangan bernilai RM122,500 kepada masjid dan surau serta golongan kurang berkemampuan di Dewan Negeri (DN) Jelai.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sumbangan ini melibatkan 13 buah masjid dan 31 buah surau serta 426 penerima yang terdiri daripada anak-anak yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal.
“Ramadan juga amat sinonim dengan aktiviti masjid. Pada bulan mulia inilah kita perlu mengimarahkan lagi masjid dengan pelbagai aktiviti. Alhamdulillah, kita sekarang sudah boleh bergiat aktif setelah melalui fasa pandemik selama hampir tiga tahun.

“Sehubungan itu dalam majlis ini, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang akan memberi sumbangan kepada masjid dan surau bagi kawasan Jelai. Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Sungai Koyan akan menerima RM1,000; sementara 12 masjid mukim/kariah menerima RM500.
“Turut menerima sumbangan RM500 adalah 31 surau termasuk surau di perkampungan Orang Asli membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM22,500,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengerusi-pengerusi Masjid Dewan Negeri (DN) Jelai di Masjid Sultan Ahmad Shah Sungai Koyan 1, Lipis.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Mahmud Mohd Nawawi; dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Beliau berkata pada masjid sebelum ini, sebanyak 426 penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan seperti anak-anak yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal telah menerima bantuan bernilai RM100,000.
“Sebelum itu, sebentar tadi telah diadakan majlis penyampaian sumbangan Ramadan membabitkan 426 orang penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan seperti anak-anak yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal dari 13 kampung di sekitar kawasan Jelai.
“Mereka menerima bantuan prihatin berbentuk wang tunai RM200 dan kurma membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM100,000,” katanya. -PAHANGMEDIA