KERAJAAN PAHANG PERUNTUK HAMPIR RM30 JUTA BAGI BANTUAN PRIHATIN PAHANG 2022

Oleh : Ain Nadhirah Basharuddin
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

LIPIS, 09 APRIL 2022 : Kerajaan Pahang memperuntukkan hampir RM30 juta Bantuan Prihatin Pahang 2022 (BPP) kepada rakyat melibatkan pelbagai peringkat di negeri ini.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata bantuan bernilai RM29.91 juta akan diagihkan bermula bulan ini sehingga Julai.

“Hari ini saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang akan menyalurkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 bermula April hingga Julai ini.


 
“Bantuan Prihatin Pahang ini melibatkan peruntukan berjumlah RM29,910,900 untuk manfaat 297,013 penerima yang melibatkan empat kluster utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang dan Sumbangan Ihya Ramadan 1443 Hijrah dengan kerjasama Yayasan Pahang di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Lipis.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak; Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab. Moin; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Mahmud Mohd Nawawi; dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Menurut beliau lagi, empat kluster utama tersebut adalah pelajar dan anak muda, golongan B40, kluster umum, dan kluster apresiasi.

“Kumpulan-kumpulan di bawah kluster pelajar dan anak muda ialah pelajar sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, pelajar tahfiz, pelajar universiti dan politeknik, anak muda 18 tahun hingga 21 tahun, dan anak muda yang berniaga.

 
“Kumpulan-kumpulan di bawah kluster golongan B40 adalah anak yatim, ibu tunggal, gelandangan, nelayan dan pemandu teksi.
 
“Kumpulan-kumpulan di bawah kluster umum adalah kampung tradisi, peneroka, Orang Asli, penjaja harian, serta pengusaha bot dan pemandu pelancong; manakala kumpulan-kumpulan di bawah kluster apresiasi pula adalah veteran tentera dan polis,” katanya.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang kepada penerima di kawasan Dewan Negeri Jelai pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang dan Ihya’ Ramadan di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Lipis hari ini.

Beliau berkata Bantuan Prihatin Pahang 2022 ini dapat dilaksanakan berdasarkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri yang kukuh.

“Seperti mana yang saya sering nyatakan, setiap hasil yang Kerajaan Negeri perolehi, kita akan pulangkan semula kepada rakyat agar kita semua dapat berkongsi rezeki demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama.
 
“Saya percaya, sekiranya sasaran hasil RM1 bilion pada tahun ini tercapai, tidak mustahil Kerajaan Negeri berupaya untuk meneruskan lagi bukan sahaja Bantuan Prihatin Pahang tetapi juga bantuan-bantuan lain untuk rakyat di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Pahang telah membelanjakan RM75.03 juta bagi perbelanjaan pengurusan dan operasi mencegah penularan COVID-19 setakat akhir tahun lepas.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail


“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM31.3 juta telah diagihkan melalui pakej Bantuan Prihatin Pahang yang dilaksanakan melalui 4 fasa khusus kepada golongan sasaran,” katanya.

Mengulas mengenai bonus Aidilfitri kepada penjawat awam di negeri ini, beliau meminta penjawat awam supaya bersabar dan memberi keutamaan bagi bantuan kepada rakyat terlebih dahulu.

“Kita akan melihat kedudukan kewangan Kerajaan Negeri. Lazimnya kita akan beri bonus. Harap dapat sabar dan kita beri keutamaan kepada rakyat dahulu. Ada tu ada, tapi banyak mana tak tahu lagi,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram