Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan sumbangan kepada penghuni penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Miskin Permata Camar.

HENTIKAN BUDAYA BULI – KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 9 APRIL 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan agar budaya buli tidak kembali berulang pada masa akan datang.

Titah baginda, konflik dan perselisihan faham itu merupakan lumrah dalam kehidupan dan tidak seharusnya menyimpan sebarang rasa dendam dan iri hati.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama penghuni penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Miskin Permata Camar.

“Saya tidak mahu adik-adik semua terlibat dengan kes buli, kerana buli tidak memberi apa-apa faedah malah menghancurkan masa depan sendiri.

“Contohilah Rasulullah SAW yang telah banyak mendorong umat Islam untuk bersikap pemaaf pada orang lain melalui suri teladannya semasa hidup,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Miskin Permata Camar, di sini hari ini.

Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Rumah Anak-anak Yatim dan Miskin Permata Camar, YH Dato’ Haji Halidan Md Daud serta Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Hj Osman.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Dalam pada itu, baginda turut berharap agar anak-anak di rumah berkenaan mengambil setiap cabaran dengan hati yang kental sekaligus mampu mengubah nasib diri dan keluarga suatu hari nanti.

“Era The Fifth Industrial Revolution yang berteraskan revolusi maya telah memberi impak yang sangat besar kepada sektor pendidikan.

“Maka adik-adik perlu memiliki pelbagai pengetahuan dan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, pemikiran kreatif, pengucapan awam serta penguasaan bahasa Inggeris yang baik,” titahnya.

Baginda bertitah, keberanian serta kecekalan akan membantu mereka mengharungi setiap cabaran sekaligus mengelak sifat mudah berputus asa dalam kehidupan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram