Encik Othman Ibrahim dan isterinya menunjukkan mesin adunan tepung untuk membuat laksa sumbangan MUIP kepadanya sebelum ini yang masih digunakan hingga beliau menjadi usahawan laksa yang berjaya.

DULU PENERIMA ZAKAT, KINI MEMBAYAR ZAKAT

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali

PEKAN, 8 APRIL 2022 : Jika dahulu beliau adalah seorang asnaf yang menerima zakat, kini status berkenaan berubah selepas bantuan yang dihulurkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah menjadikan perniagaan laksanya berkembang sehingga layak membayar zakat.

Bagi Encik Othman Ibrahim, 59, ia adalah sesuatu yang tidak pernah dibayangkan namun beliau bersyukur dan amat berterima kasih di atas rezeki yang diterima.

“Kalau dulu pada bulan Ramadan dan Syawal saya dan isteri, Rosnanis Sudin, 49, mampu buat 20 ke 30 kilogram laksa sahaja. Masa tu susah uli (tepung) pakai tangan, peralatan tak ada.

“Ketua Kampung pun bantu saya mengajukan permohonan peralatan kepada MUIP sehingga kami dapat menghasilkan sehingga 150 kilogram tempahan pada hari raya pertama,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di kediamannya di Kampung Permatang Pauh.

Turut sama, Pengurus MUIP Cawangan Daerah Pekan, Ustaz Mohd Nasrul Hakim Mat Daud yang juga Ketua Kampung Permatang Pauh.

Dalam pada itu, beliau yang telah lebih sepuluh tahun membuat laksa Pahang menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang DiPertua MUIP yang begitu prihatin dengan nasib golongan asnaf.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih sangatlah, dengan bantuan yang diterima sehingga perniagaan saya berkembang dengan menerima tempahan (laksa Pahang) yang banyak.

“Terima kasih juga kepada wakil rakyat iaitu Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar, YB. Dato’ Fakhruddin Ariff yang membantu keluarga saya dari sudut keperluan pelajaran anak-anak serta bantuan bagi membaiki bumbung rumah yang rosak,” katanya.

Encik Othman Ibrahim (kiri) hadir ke Pusat Kutipan Zakat Pahang cawangan Pekan untuk membayar zakat perniagaannya.

Mengulas lanjut mengenai zakat yang dikeluarkan, beliau berkata ia adalah suatu perkara yang wajib dilakukannya untuk membantu golongan asnaf lain berusaha membina kehidupan yang lebih baik.

“Saya rasa bersyukur sangat alhamdulillah.. Kalau dulu saya terima zakat, sekarang saya pula dapat mengeluarkan zakat untuk membantu orang lain,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram